Zahid Hamidi Dilantik Sebagai TPM, Tetapi Kenapa Netizen Seru Nama Altimet Di Twitter? 

Politics
4 Dec 2022 • 3:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Altimet - Gambar dari Instagram

Umum mengetahui bahawa barisan Kabinet di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun diumumkan pada Jumaat lalu.

Seperti biasa, pasti akan ada yang tidak akan berpuas hati dengan pemilihan yang dilakukan. 

Ramai netizen yang mempersoalkan kenapa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) sedangkan beliau mempunyai kes di mahkamah.

Malah sejak nama Zahid diumumkan sebagai TPM, netizen telah menyeru nama penyanyi rap terkenal iaitu Altimet di Twitter.

Altimet yang diketahui sebagai penyokong tegar Pakatan Harapan pernah menghasilkan lagu berjudul ‘Aduh Malaysia’ yang menceritakan tentang penyamun yang dilancarkan kira-kira dua bulan lalu. 

Malah lagu berkenaan pernah dinyanyikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramahnya tidak lama dahulu yang pernah tular di media sosial.

Sebelum PRU-15 berlangsung, setiap parti politik yang bertanding dilihat sering memburukkan pihak lawan.

Namun keputusan pada PRU-15 yang lalu telah menyaksikan parti-parti yang bertanding perlu bergabung untuk membentuk kerajaan perpaduan kerana kekurangan majoriti kerusi di Parlimen. 

Altimet juga pernah menghasilkan lagu yang berjudul 'Lagu  Bagan Datuk' yang dianyanyikannya bersama Datuk M Daud Kilau dan Yasin Sulaiman pada tahun 2018. 

Di Twitter, ada pengguna Twitter yang membuat ciapan mengatakan bahawa orang yang paling malu untuk PRU-15 adalah Altimet. Ciapan itu telah diulang ciap sebanyak lebih dari 5,000 kali dan mendapat lebih dari 8000 tanda suka.

image is not available

Melihatkan senario yang berlaku di dalam arena politik negara, boleh dikatakan apa sahaja boleh berlaku dan berubah dalam sekelip mata. Jadi berpada-padalah dalam berkata-kata dan menentang pihak lawan kerana kita tidak tahu esok lusa lawan juga boleh bertukar menjadi kawan. – Getaran, 4 Disember 2022.