
PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) diminta menggandakan bilangan pelajar tajaan ke Sabancı University, Türkiye pada tahun depan bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak Malaysia melanjutkan pengajian di universiti itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 17 pelajar Malaysia kini mengikuti pengajian di universiti berkenaan sebagai kumpulan pertama penerima tajaan Mara.
Katanya, mereka mengikuti pengajian selama empat tahun dalam pelbagai bidang strategik dan kebanyakannya baru memulakan semester pertama.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh diplomasi pendidikan dengan Türkiye.
“Saya juga telah meminta Mara agar menggandakan bilangan ini pada tahun depan agar lebih banyak peluang kepada anak-anak Malaysia untuk mendapatkan pendidikan dan pendedahan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Zahid berkata, beliau sempat bertemu pelajar Malaysia yang menuntut di Türkiye dan warga Kedutaan Malaysia pada majlis makan malam di Istanbul, pada malam terakhir lawatan rasmi beliau ke negara itu.
Katanya, pertemuan tersebut memberi peluang kepadanya untuk bertanya khabar dan mendengar sendiri pengalaman pelajar Malaysia menuntut ilmu di perantauan.
Beliau turut berpesan supaya mereka memanfaatkan peluang untuk menimba ilmu, menguasai kemahiran baharu dan membina jaringan antarabangsa sambil menjaga jati diri sebagai rakyat Malaysia.
“Kepada anak-anak Malaysia di Türkiye, teruskan melangkah dengan yakin.
“Tuntutlah ilmu setinggi mungkin, bina pengalaman seluas mungkin, dan suatu hari nanti pulanglah membawa kepakaran untuk menyumbang kepada negara,” katanya. – UTUSAN
The post Zahid minta Mara gandakan tajaan pelajar ke Sabancı University appeared first on Utusan Malaysia.





