Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa sokongan pengundi Cina terhadap gabungan itu semakin meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus meningkatkan keyakinan BN terhadap peluang calon MCA dan MIC untuk meraih kemenangan.
Cina berpihak kepada BN

Memetik laporan Sinar Harian, menurut beliau, keyakinan tersebut bersandarkan kajian yang dijalankan BN berdasarkan sambutan pengundi di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta saluran mengundi.
“Kami telah membuat kajian mengikut sambutan pengundi-pengundi di PDM dan di saluran.
“Kami amat sukacita kerana gelombang sokongan daripada pengundi-pengundi Cina kepada calon-calon BN itu bertambah.
“Kita memang meletakkan calon-calon ‘underdog’ di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai pengundi Cina, namun mereka melihat wakil rakyat terdahulu tidak memperlihatkan prestasi yang baik berbanding harapan yang diletakkan kepada mereka.
“Jadi mereka memberitahu saya, inilah masanya kepercayaan diberikan kepada calon-calon bukan UMNO iaitu calon MCA dan MIC untuk turut diberi peluang di 19 kawasan yang telah dikenal pasti,” katanya ketika ditemui pada program ramah mesra bersama pengundi Cina di sebuah medan selera di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN mempertaruhkan seramai 56 calon pada PRN Johor kali ini, membabitkan 37 calon UMNO, 15 calon MCA dan empat calon MIC.
“Terdapat 19 calon bukan Melayu yang kita ketengahkan dan ia memberikan optik yang sangat baik kepada pengundi-pengundi Cina terhadap BN.
“Saya harap momentum sokongan ini berkekalan sehingga hari pengundian pada 11 Julai nanti,” tambahnya lagi.
Sumber: Sinar Harian (Norafiza Jaafar)





