MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin gelombang biru mampu menawan kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Ahmad Zahid berkata, ini kerana tawaran BN bersama Perikatan Nasional (PN) yang mengandungi 113 perkara berasaskan beberapa teras utama mampu memenuhi keperluan rakyat Melaka.
Katanya, tawaran itu mengambil kira kepentingan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira umur, kaum, agama, budaya dan bahasa.
“Insya-Allah, kita akan terus membirukan negeri Melaka pada hari Sabtu nanti.
“Saya yakin warna biru ini akan menerangi seluruh 28 kawasan DUN Melaka ini, insya-Allah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Khatam Perdana Pra Tahfiz di Ayer Keroh di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, beliau amat bersyukur apabila kempen PRN Melaka setakat ini berlangsung dalam suasana tenang.
Katanya, suasana kempen kali ini jauh lebih tenang berbanding beberapa PRN dan pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.
“Saya bersyukur kerana semua parti yang bertanding menghormati tataetika dengan mempunyai tatasusila kempen yang baik.
“Walaupun keadaan ini sangat tenang berbanding kempen PRN lain atau PRK, kita mengharapkan agar pada hari pengundian nanti tidak ada sebarang peristiwa yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Katanya, beliau yakin dengan kemampuan pasukan keselamatan serta kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan proses pengundian berjalan lancar.
“Melaka adalah negeri yang ditadbir dengan baik selama ini dan kita harap kepercayaan serta sokongan dapat diberikan kepada calon-calon BN yang kita ketengahkan, insya-Allah,” katanya.
Seramai 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN pada PRN Melaka, 14 November ini.
Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) bertanding di 24 kerusi diikuti BN dengan 23 kerusi, Parti Bersama Malaysia (Bersama) (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (7), PN (5), Bebas (3) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (1). – UTUSAN
The post Zahid yakin menang 28 DUN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.






