
Kota Kinabalu: Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar tiada kuasa menentukan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri (PRN17), sebaliknya ia diputuskan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno.
“Sehubungan itu, sebarang kenyataan Bung mengenai perkara itu adalah sekadar pendirian peribadi beliau,” tegas Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang juga wakil rakyat Tanjung Keramat.
“Itu pendirian beliau selaku Pengerusi Umno Sabah, tapi kita sedar pemilihan calon ditentukan oleh Pengerusi BN Pusat (Zahid).
“Jadi, kita serahkan kepada Pengerusi BN untuk menentukannya dan saya sentiasa terbuka,” katanya ketika ditemui di Program Sahur dan Solat Subuh Bersama Warga Pulau Gaya, di sini, Sabtu lalu.
Beliau mengulas kenyataan Bung yang mengingatkan Shahelmey bahawa Umno Sabah tidak terfikir langsung meletakkannya sebagai calon BN pada PRN17 nanti.
Pada Mac 2023, Bung mengumumkan keahlian Shahelmey digantung selama enam tahun kerana tindakannya tidak senada dengan pendirian Umno Sabah dalam episod Langkah Kinabalu sebelum ini.
Ia susulan Shahelmey mengekalkan sokongannya kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai ketua menteri, selepas Bung mengumumkan BN Sabah menarik balik sokongan pada Januari tahun yang sama.
Bagaimanapun, Shahelmey menafikannya kerana tiada surat penggantungan diterima pihaknya setakat ini, malah semakan di Pejabat Umno mendapati tiada status penggantungan berkaitan.
Bung baru-baru ini mengumumkan Ketua Umno Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed sebagai calon BN bagi PRN17 di kerusi Tanjung Keramat yang disandang Shahelmey ketika ini.
Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan menegaskan beliau tiada langsung berniat melobi sebagai calon BN sebaliknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan pusat.
“Apabila saya membuat kenyataan minggu lepas bukan bererti saya ‘terhegeh-hegeh’ melobi untuk jadi calon (BN), cuma saya sekadar menyatakan bahawa jentera untuk Tanjung Keramat sentiasa bersedia menghadapi PRN17,” tegasnya.
Ketika ditanya mengenai pertemuan beliau baru-baru ini dengan bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang dipecat daripada parti itu sebelum ini, Shahelmey berkata, ia sekadar pertemuan silaturrahim.
“Saudara Khairy datang (ke Sabah) untuk (satu) majlis di SICC sebagai duta satu jenama baju Melayu, dan selepas acara itu kami selaku rakan-rakan, mantan pemuda-pemuda (Umno) berkumpul untuk beramah mesra,” katanya.
Terdahulu, Shahelmey menyampaikan sumbangan Muis masing-masing RM5,000 dan RM3,000 kepada lima masjid serta surau termasuk sumbangan tunai peribadi dan Baitulmal kepada 60 asnaf di majlis itu.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Dr Ariffin Arif dan Setiausaha yang juga Pegawai Eksekutif Muis, Ramlan Ag Ali.
