
SANDAKAN: Umno Sabah akan memperjuangkan ketiga-tiga kerusi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) bagi kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Libaran.
Ketua Umno Bahagian Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, BN juga akan memastikan ketiga-tiga kerusi DUN di kawasan Libaran menjadi milik BN.
Ketua Penerangan Umno Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran itu menambah, walaupun pihaknya belum mengetahui siapa akan menjadi pasukan BN dalam PRN17, BN tidak akan bergerak solo.
"Sama ada kita bergabung dengan mana-mana parti atau apa sahaja ketetapan kelak, kita tetap akan mempertahankan ketiga-tiga kerusi ini kerana ia adalah kerusi tradisi BN/Umno di Parlimen Libaran ini," jelasnya.
"Mengikut keputusan Umno Sabah, kita tidak menutup dan juga tidak membuka pintu sepenuhnya sama ada mahu kolaborasi bersama parti lain," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Ramadan Bersama Kepimpinan Umno Bahagian Libaran di Aisyadelia Cottage, Batu 14, Sandakan, baru-baru ini.
Hadir sama, Adun Sungai Manila merangkap Timbalan Ketua Umno Bahagian Libaran, Datuk Mokran Ingkat.
Pada majlis itu, beliau dan isterinya, Datuk Nur Nazimah Hashim turut menyantuni dan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak-anak yatim.
Suhaimi juga menyampaikan zakat kepada ketua-ketua cawangan dan hadirin dari bahagian itu.
Terdahulu, pihaknya mengajak semua jentera parti itu agar bekerja keras dalam menghadapi PRN17 yang akan datang, menegaskan nasib rakyat penting untuk terus diperjuangkan demi kesejahteraan mereka.
Beliau turut mengingatkan, mereka juga perlu bersedia untuk persidangan Umno yang dijadualkan bermula pada 7 April depan.


