Zainani Jusoh dilantik sebagai Akauntan Negara mulai 3 Sept 2025

LocalPolitics
3 Sep 2025 • 2:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zainani Jusoh dilantik sebagai Akauntan Negara mulai 3 Sept 2025

image is not available

03/09/2025 - 14:14

Zainani Jusoh Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Timbalan Akauntan Negara (Korporat), Zainani Jusoh dilantik sebagai Akauntan Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Nor Yati Ahmad yang bersara wajib pada tarikh yang sama.

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam satu kenyataan media yang memaklumkan surat pelantikan telah disampaikan lebih awal oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 27 Ogos lalu di Putrajaya.

Berusia 55 tahun dan berasal dari Tanah Merah, Kelantan, Zainani memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Beliau merupakan akauntan bertauliah serta ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

“Mula menyertai perkhidmatan awam pada 1994 sebagai akauntan di Pasukan Petugas Sistem Perakaunan Mikro JANM, Zainani mempunyai pengalaman lebih tiga dekad merentasi pelbagai kementerian dan jabatan,” kata kenyataan itu.

Antara jawatan penting yang pernah disandang termasuk di Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Beliau turut dikenang atas sumbangan besar dalam usaha menukar landskap pengurusan perakaunan di kedutaan Malaysia seluruh dunia daripada sistem manual kepada digital.

“Transformasi itu telah meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan dengan lebih cekap, tepat dan pantas,” katanya.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Akauntan Negara (Korporat) pada September 2023, Zainani mengetuai Bahagian Khidmat Perunding JANM serta Bahagian Akaun Kementerian Kewangan antara 2019 hingga 2023.

Atas khidmat cemerlangnya, beliau pernah menerima penganugerahan darjah kebesaran Bentara Setia Mahkota pada 2015 sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Jabatan Akauntan Negara Malaysia ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Zainani untuk menggalas tugas dan amanah sebagai Akauntan Negara bermula 3 September 2025,” menurut kenyataan itu.

Pelantikan ini sekali gus menandakan era baharu kepimpinan di JANM, yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem pengurusan kewangan negara seiring dengan agenda pendigitalan sektor awam. - DagangNews.com

standard