Scanfil labur RM15.8 juta perluas dan modenkan kilang SRX Global di Johor Bahru

LocalBusiness & Finance
3 Sep 2025 • 6:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Scanfil labur RM15.8 juta perluas dan modenkan kilang SRX Global di Johor Bahru

image is not available

03/09/2025 - 18:12

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik terbesar Eropah, Scanfil telah melabur sebanyak RM15.8 juta bagi memperluas dan memodenkan kilang SRX Global (Malaysia) Sdn Bhd di Johor Bahru.

Pelaburan yang dibuat akan meningkatkan kapasiti pengeluaran hampir 50 peratus, mengukuhkan lagi kedudukan Johor Bahru sebagai hab elektronik strategik di Asia, selain memperkukuh jejak Scanfil di rantau Asia Pasifik yang turut meliputi operasi SRX Global di Melbourne, Australia.

Sebelum penambahbaikan dibuat, kilang SRX di Johor beroperasi dengan empat barisan teknologi pemasangan permukaan automatik (SMT) serta tenaga kerja seramai 170 orang, menjadi asas kukuh bagi pertumbuhan syarikat pada fasa seterusnya.

Timbalan Ketua Misi Kedutaan Finland di Malaysia, Maiju Lepomäki, telah merasmikan penyempurnaan acara tersebut dalam satu majlis yang diadakan semalam.

Majlis itu turut meraikan hubungan ekonomi erat antara Finland dan Malaysia sejak 1988, dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Scanfil, Christophe Sut, Naib Presiden APAC Scanfil, Christian Kesten, bekas CEO SRX, Paul Appleby, Pengarah MIDA Johor, Mohamad Reduan Mohd Zabri, Penasihat Kanan Dewan Perniagaan Malaysia-Finland, Mohamed Farid Mohamed Razali, serta wakil daripada SRX Global dan Scanfil.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Scanfil, Christophe Sut berkata, peluasan dan pemodenan kilang di Johor mencerminkan suasana perniagaan positif yang ditawarkan Malaysia kepada pelabur asing.

Menurut beliau, disebabkan persekitaran perniagaan yang boleh dijangka serta mesra pelaburan, SRX Global sebagai sebahagian daripada Scanfil komited untuk membangunkan operasinya di Johor Bahru dengan perspektif jangka panjang.

“Kami melihat peluang yang sangat besar, khususnya dalam sektor teknologi perindustrian, teknologi perubatan dan sains hayat. Pelaburan ini adalah asas penting untuk pertumbuhan masa depan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid pula berkata, pengembangan Scanfil adalah satu langkah signifikan dalam memacu sektor pembuatan bernilai tinggi di negara ini.

Menurut beliau, pelaburan tersebut bukan sahaja membawa masuk teknologi canggih, malah mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkukuh inovasi serta menyokong usaha kelestarian dalam rantaian bekalan elektronik.

“Peluasan kilang ini juga selari dengan agenda negara melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 serta Strategi Semikonduktor Negara (NSS).

“Kedua-duanya bertujuan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam elektronik dan semikonduktor, selain memastikan daya tahan jangka panjang dalam rantaian bekalan global,” jelasnya.

Katanya lagi, kerjasama erat antara pelabur asing, pihak berkuasa dan pemain industri tempatan adalah kunci untuk menjadikan Malaysia hab utama dalam sektor elektronik dan semikonduktor di rantau ini.

“Peningkatan pelaburan Scanfil ini sekali gus dilihat sebagai satu pemangkin penting kepada aspirasi Malaysia dalam menambah nilai, menguasai teknologi maju dan memperkukuh daya saing negara di pasaran global,” katanya. - DagangNews.com

standard