
SHAH ALAM, 20 OKT: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menyeru umat Islam yang memenuhi syarat wajib zakat menunaikan kewajipan itu sebelum 31 Disember menerusi Kempen Hujung Tahun Zakat Selangor 2026 bertemakan “Kerana Zakat, Kita Peduli”.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata, pembayaran awal dapat memudahkan urusan selain membolehkan pembayar menggunakan resit zakat bagi tuntutan rebat cukai tahun taksiran 2026, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
“Justeru, menjelang penghujung tahun ini, saya menyeru masyarakat Islam yang memenuhi syarat wajib zakat supaya menyemak kiraan dan menyempurnakan zakat masing-masing sebelum 31 Disember 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sepetang Bersama Media dan Pelancaran Kempen Hujung Tahun Zakat Selangor 2026 di Hotel Concorde, di sini, hari ini.
Mohd Khaidzir berkata, kutipan zakat setakat September masih mengikut sasaran, namun prestasi suku terakhir bakal menentukan jumlah keseluruhan kutipan tahun ini.
Menurutnya, sebanyak 19 cawangan Zakat Selangor akan dibuka setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum mulai 1 Disember bagi memudahkan pembayaran.
Pembayar juga boleh menggunakan saluran tanpa tunai seperti eZakatPay, perbankan internet, e-dompet, MYEG, Pos Online dan debit terus.
Kempen sepanjang Disember itu turut menawarkan cenderahati menerusi aktiviti Early Bird, Wheel of Barakah dan pembayaran FPX di cawangan Zakat Selangor.
Sementara itu, sebanyak RM750 juta zakat diagihkan dari Januari hingga September tahun ini bagi membantu golongan asnaf menerusi bantuan perumahan, pendidikan, perubatan dan pembangunan perusahaan.






