Zaleha Hamid meninggal dunia pada usia 68 tahun, paru-paru dijangkiti kuman

LocalEntertainment
20 Jun 2025 • 7:27 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available
Foto: Ihsan Berita RTM (Facebook)

 

PENYANYI dan penghibur era 80-an, Zaleha Hamid kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, kira-kira jam 8.30 malam pada Khamis.

Berita duka itu pemergian Allahyarham dikongsikan oleh anak sulung, Ungku Chik Zafirulazman.

Ungku Chik memaklumkan bahawa ibunya telah seminggu dirawat di hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 6.30 petang (Khamis), mama mengalami sesak nafas dan dibantu dengan alat bantuan pernafasan sebelum menghembuskan nafas terakhir malam ini,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian pada malam Khamis.

Sementara itu, Berita RTM melaporkan suami Allahyarham, Ungku Sulaiman Ungku Aziz memaklumkan Zaleha mengalami sesak nafas pada petang Rabu sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan dan pemantauan lanjut.

Difahamkan, keadaan penyanyi dangdut itu kembali merosot tidak lama kemudian.

“Keadaan Allahyarham mula terjejas semula disebabkan kandungan kalsium berlebihan dalam otak yang menyebabkan kekejangan, sama seperti yang pernah berlaku ketika beliau diserang angin ahmar pada 2019,” kongsi Ungku Sulaiman.

Tambahnya lagi, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, Johor Bahru selepas solat Jumaat.

image is not available
Foto: Ihsan Last FM

Sekadar info, Zaleha terdahulu terlantar sejak tahun 2020 susulan serangan angin ahmar.

Zaleha Hamid yang terkenal di Malaysia dan Singapura digelar Ratu Dangdut. Allahyarham juga pernah menganggotai kugiran Orkes Zindegi sebagai penyanyi utama pada era 60-an hingga 70-an.

Dilahirkan dalam keluarga berjiwa seni, antara lagu dendangan Zaleha ialah seperti Dangdut Reggae, Kerana Pengalaman, Nasib Janda, Jangan Kau Tangiskan, dan Kekasih di Tangan Orang.

Allahyarham pernah merangkul Anugerah Artis Sepanjang Zaman: Penyanyi Lagu Dangdut Anugerah Kecapi Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) pada tahun 2006.