
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas Zamri Vinoth didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam berhubung penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, bulan lepas.
Zamri Vinoth, atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
“Faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah,” katanya yang berada di kandang tertuduh dengan memakai kot berwarna biru.
Mengikut pertuduhan, Zamri Vinoth didakwa telah membuat kenyataan di akaun Facebook miliknya “Zamri Vinoth”, pada 12.22 tengah hari, 3 Feb lepas, yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan itu telah dilihat dan didengar oleh seorang lelaki berusia 45 tahun di Restoran Nasi Kandar Kudu, Jalan Tunku Abdul Rahman.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan kes.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Nordin Ismail, Izzat Amir Idham dan Nur Farhana Mohamad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hariz Md Yusoff.
The post Zamri Vinoth Didakwa Buat Kenyataan Timbul Kegentaran Awam appeared first on The Malaysian Update.
