Zamri Vinoth, Tamim Dahri dikesan di Selatan Thailand

LocalPolitics
15 Mar 2026 • 3:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pendakwah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri dilaporkan memasuki Thailand melalui pintu masuk di wilayah selatan negara itu pada Khamis.

BANGKOK -  Pendakwah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri dilaporkan memasuki Thailand melalui pintu masuk di wilayah selatan negara itu pada Khamis.

Menurut sumber keselamatan Thailand, kedua-dua individu terbabit memasuki negara tersebut melalui laluan darat di pintu masuk Sungai Kolok, Narathiwat, yang bersempadan dengan Rantau Panjang, Kelantan, dengan menggunakan dokumen perjalanan yang sah.

“Laporan awal menunjukkan kedua-dua individu itu masih berada di selatan Thailand,” kata sumber berkenaan kepada Bernama ketika dihubungi.

Pada Sabtu, Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail mengesahkan bahawa Zamri dan Tamim, yang sedang disiasat berkaitan beberapa kes berasingan, telah melarikan diri ke Thailand.

Beliau berkata, usaha menjejaki kedua-dua individu itu sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.

Siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan yang dibuatnya dalam satu perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara Malaysia.

Jabatan itu kemudiannya mengarahkan supaya beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan Malaysia, yang berkaitan dengan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dengan niat menimbulkan, atau berkemungkinan menimbulkan, ketakutan atau kegusaran dalam kalangan orang awam.

Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan yang dianggap menghina komuniti India telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang dengan arahan supaya pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, kertas siasatan melibatkan Tamim berkaitan perbuatan merosakkan soolam, iaitu simbol suci dalam agama Hindu, di bekas tapak sebuah kuil di Langkawi, Kedah, telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Kedah dengan arahan supaya pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan Malaysia. - Bernama