
Kota Kinabalu: Seorang saksi kanak-kanak mendedahkan bahawa dua hari sebelum Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama SMKA Tun Mustapha, berlaku insiden di mana dia dimarahi ibunya.
Peguam Azhier Farhan Arisin ketika ditemui media selepas prosiding pada Khamis berkata, menurut saksi pertama, Zara dimarahi ibunya dan kerana itu, ketika dihantar semula ke asrama pada 13 Julai lalu, ibunya cuba bersalam dengannya tetapi menurut saksi, salam itu tidak ikhlas.
Azhier berkata lagi, apabila dia bertanya sama ada itu kali terakhir ibu Zara melihat anaknya, saksi menjawab ya, itu kali terakhir, dan pada waktu itu Zara masih marah dengan ibunya.
Dia juga memaklumkan kepada media bahawa saksi kanak-kanak pertama pernah mengikut Zara pulang ke rumah pada waktu berkenaan.
Azhier menambah, saksi kanak-kanak kedua pula memberitahu mahkamah bahawa dia mengenali tulisan tangan dalam salah sebuah diari dan mengesahkan ia adalah tulisan Zara.
“Dalam catatan itu, terdapat luahan kesedihan penulis yang merungut, ‘kenapa aku dibenci... kenapa aku tidak disukai’,” katanya.
“Apabila ditanya sama ada Zara pernah menyebut tentang catatan itu, saksi mengesahkan Zara pernah mengadu mengenainya,” jelas Azhier.
Sementara itu, peguam Joan Goh memaklumkan dua saksi kanak-kanak memberitahu mahkamah bahawa Zara pernah berkata kepada mereka lebih 10 kali, ‘kalau saya lompat dari sini ada orang sayang saya kah?’.
“Menurut saksi-saksi tersebut, Zara menyebut perkara itu lebih daripada 10 kali,” kata Goh.
Goh turut menyatakan bahawa saksi kanak-kanak ketiga memberi keterangan bahawa dia tidak mendengar Zara diejek di asrama.
“Saksi ini pada asasnya tidak melihat dan mendengar apa-apa di asrama berkenaan pada malam Zara dikatakan disoal, kerana dia berada di biliknya sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Shahlan Jufri memaklumkan mengenai keterangan saksi ketiga yang menyatakan Zara pernah dipanggil oleh ketua bilik asrama.
Menurut Shahlan, saksi itu juga berkata dia ada mendengar beberapa perkataan dilontarkan oleh pelajar lain ketika Zara disoal.
Shahlan menambah, pelajar yang menyoal Zara itu berada dalam keadaan marah pada masa itu, namun saksi tidak memberikan butiran lanjut kerana ketika itu dia berbual dengan rakannya.
Saksi ketiga telah selesai memberi keterangan, manakala pada Jumaat saksi kanak-kanak keempat dijadualkan memberi keterangan.


