Zara Qairina tidak takut, cuma tak selesa diganggu 'tomboy'-Sepupu

20 May 2026 • 8:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Zara Qairina tidak takut, cuma tak selesa diganggu 'tomboy'-Sepupu
Zara Qairina

KOTA KINABALU - Saksi ke-73 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner, di sini bahawa Allahyarhamah pernah berkongsi bahawa dia tidak selesa dengan seorang pelajar berperwatakan 'tomboy'.

Saksi berusia 17 tahun yang merupakan sepupu kepada Zara Qairina memaklumkan perkara itu semasa memberikan keterangannya di mahkamah pada Rabu.

"Pada pemerhatian saya, sekolah tidak banyak mempengaruhi emosi Zara dan beliau tidak menunjukkan bahawa sekolah memberi tekanan besar kepadanya.

"Bagaimanapun, Zara pernah berkongsi bahawa beliau tidak selesa dengan seorang pelajar tomboy yang kadangkala mengganggunya.

"Pada pemerhatian saya, Zara tidak takut kepada pelajar tersebut tetapi hanya berasa tidak selesa sahaja," katanya ketika membaca keterangan bertulisnya.

Ujarnya, selain perkara tersebut, Zara Qairina tidak pernah menyebut individu lain yang membuatnya tertekan.

"Dia juga tidak pernah bercerita tentang kejadian di sekolah yang membuatkannya sedih, dipinggirkan atau dilayan dengan tidak baik.

"Semasa Zara bercerita mengenai pelajar tersebut, keadaan emosinya kelihatan biasa dan hanya menunjukkan rasa tidak selesa, bukan takut atau tertekan.

"Saya ada memberi nasihat dan sokongan biasa kepada Zara berhubung perkara tersebut namun saya tidak pernah memaklumkan kepada orang dewasa kerana pada pandangan saya keadaan tersebut tidak serius pada waktu itu," katanya.

Tambah saksi itu, berdasarkan pemerhatiannya yang sepanjang mengenali Zara Qairina sejak kecil, dia seorang yang ceria, suka bergurau, mudah mesra dan baik hati.

"Pada pandangan saya juga, Zara tidak menunjukkan tanda tekanan emosi yang berat.

"Setakat yang saya tahu, tidak ada perkara besar yang memberi kesan serius kepada emosi Zara." katanya.