Video, rakaman audio dimainkan di mahkamah gambarkan hubungan rapat Zara dan ibu

LocalFamily & Parenting
20 May 2026 • 1:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Video, rakaman audio dimainkan di mahkamah gambarkan hubungan rapat Zara dan ibu
Beberapa video dan rakaman audio yang dimainkan di Mahkamah Koroner semasa prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir menggambarkan hubungan rapat remaja itu dengan ibunya, Noraidah Lamat - Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Beberapa video dan rakaman audio yang dimainkan di Mahkamah Koroner semasa prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir menggambarkan hubungan rapat remaja itu dengan ibunya, Noraidah Lamat, seperti yang diterangkan saksi ke-72.

Antara video yang dipertontonkan di mahkamah ialah rakaman berdurasi satu minit 52 saat yang memaparkan Zara Qairina berbual mesra bersama ibunya ketika berada di dalam sebuah kenderaan.

Turut dimainkan satu lagi video berdurasi tujuh minit yang menunjukkan saksi, Abu Bakar, 47, bersama ahli keluarga termasuk anak-anaknya serta Zara Qairina dan Noraidah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Semasa prosiding, peguam Shahlan Jufri merujuk kepada keterangan Abu Bakar sebelum ini yang menyifatkan Zara Qairina sebagai seorang yang ceria, periang dan mempunyai hubungan rapat dengan ibunya.

Shahlan kemudian bertanya kepada saksi sama ada karakter Zara Qairina dalam kehidupan seharian adalah seperti yang dipaparkan dalam video tersebut.

“Ya, memang karakter Zara kebiasaannya dalam video tersebut, dan mungkin lebih lagi,” katanya ketika memberikan keterangan di sini pada Rabu.

Diminta menjelaskan lebih lanjut mengenai maksud kenyataannya itu, Abu Bakar berkata, hubungan antara ibu dan anak tersebut mungkin lebih mesra berbanding yang dipaparkan dalam rakaman video berkenaan.

“Mungkin lebih mesra daripada apa yang ada dalam video tersebut. Apabila mereka makan bersama, berjalan dan pergi ke mana-mana, hubungan mereka memang rapat sebagai emak dan anak, sebagai kawan dan sahabat,” jelasnya.

Sementara itu, merujuk kepada beberapa rakaman audio perbualan antara Zara Qairina dan ibunya yang turut dimainkan di mahkamah, saksi mengesahkan nada percakapan kedua-duanya adalah seperti yang didengari dalam audio berkenaan.

Saksi sekali lagi mengesahkan perbualan kedua-dua beranak yang didengarinya melalui rakaman audio adalah sama seperti kebiasaannya memandangkan Zara memang seorang yang manja, periang dan peramah.

Sebelum itu, Shahlan bersama rakan sepasukannya yang terdiri daripada Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James merupakan wakil kepada Noraidah dalam inkues tersebut.

Inkues dikendalikan pasukan pegawai pengendali iaitu Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus manakala Hakim Koroner ialah Amir Shah Amir Hassan.