
Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner pada Selasa diberitahu bahawa Zara Qairina Mahathir tidak diberi ubat Phenytoin ketika dimasukkan ke wad neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 16 Julai lalu kerana peluangnya untuk terus hidup amat tipis.
Pegawai Perubatan Neurosurgeri, Dr Pavankumar Balachandran, berkata ubat pencegah sawan itu tidak akan mengubah peluang Zara untuk terus hidup.
Dr Pavankumar, 32, menjawab soalan daripada peguam Datuk Ram Singh mengenai sama ada Zara diberi ubat berkenaan.
Ram: Berdasarkan penilaian awal terhadap Zara, adakah doktor memberi ubat tersebut?Dr Pavankumar: Tidak.
Ram: Kenapa tidak? Mengambil kira keadaan Zara yang kritikal dan boleh membawa maut.
Dr Pavankumar: Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, berdasarkan penilaian klinikal dan radiologi, dia mengalami kecederaan tidak boleh dipulihkan. Dalam kes ini, ubat pencegah sawan tidak akan mengubah hasilnya.
Ram: Adakah doktor tahu bila Phenytoin diberi kepada Zara?Dr Pavankumar: Tidak.
Dia memaklumkan kepada koroner bahawa dia tidak berada di hospital selepas jam 6 petang pada 16 Julai kerana syifnya sudah tamat ketika Zara dimasukkan ke wad neurosurgeri.
Dalam prosiding itu, Dr Pavankumar yang merupakan saksi keempat berkata Zara mengalami kecederaan otak traumatik teruk dengan perubahan hipoksia, tanpa refleks batang otak dan tidak mampu bernafas sendiri.
Ditanya Timbalan Ketua Pendakwa II, Datuk Badiuszaman Ahmad, yang mengetuai pasukan pegawai pengendali inkues itu, mengenai peluang Zara untuk hidup berdasarkan penilaian perubatannya, Dr Pavankumar berkata, lebih tepat jika menggunakan istilah “prognosis sangat teruk” berbanding “peluang untuk hidup”.
Beliau menjelaskan istilah itu menunjukkan seseorang dengan kecederaan otak traumatik yang teruk mempunyai peluang sangat tipis untuk terus hidup.
Membacakan kenyataan saksi, Dr Pavankumar berkata Zara meninggal dunia akibat kecederaan otak traumatik teruk selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di sebuah asrama pada 16 Julai.
“Zara dibawa masuk oleh pasukan Rawatan Pra-Hospital Klinik Kesihatan Kinarut pada jam 4.38 pagi, 16 Julai selepas ditemui terbaring berhampiran longkang di tingkat bawah asrama. Trauma alert diaktifkan pada jam 4.42 pagi.
“Selepas dinilai pasukan neurosurgeri, pesakit diintubasi dan disambungkan kepada ventilator. Penilaian neurologi awal menggunakan Skala Koma Glasgow (GCS) adalah E1VTM1 dengan anak mata tetap dan membesar serta tiada refleks batang otak. Pemeriksaan luaran mendapati hematoma di bahagian belakang kepala serta luka koyakan yang telah dijahit,” katanya.
Dr Pavankumar berkata, selepas penilaian, satu pertemuan keluarga diadakan untuk menerangkan keadaan kritikal Zara.
“Keluarga dimaklumkan secara terperinci mengenai keadaannya yang kritikal serta prognosis yang lemah. Dia dimasukkan ke wad pada hari sama tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan.
“Keadaannya semakin merosot dan akhirnya meninggal dunia pada jam 1.07 tengah hari, 17 Julai.
“Sebab kematian direkodkan sebagai kecederaan otak traumatik teruk dengan hipoksia-iskemia ensefalopati. Pegawai penyiasat dan ibu Zara kemudian dimaklumkan mengenai punca kematian sebelum mayat dirujuk ke Jabatan Perubatan Forensik,” katanya.
Dr Pavankumar, lulusan Universitas Padjadjaran, Indonesia pada 2017 dan berkhidmat dalam bidang neurologi sejak 2021, berkata ketika penilaian awal, tahap kesedaran Zara amat rendah kerana tidak mampu bernafas sendiri sehingga perlu diintubasi dan disambungkan kepada ventilator.
Katanya, ibu Zara dimaklumkan segera selepas kematian anaknya, begitu juga dengan Pegawai Penyiasat (IO).
“Saya turut menjelaskan kepada ibu punca kematiannya. Saya melihat IO berbincang dengan ibu Zara,” katanya.
Menjawab soalan lain, Dr Pavankumar berkata dia dimaklumkan jururawat bahawa kes berkenaan disiasat polis kerana ia melibatkan insiden jatuh di sekolah dan itu sahaja maklumat yang diketahui ketika itu.
Saksi ketiga Dr Janefer Voo, yang memberi keterangan pada sesi pagi, berkata pasukan trauma meletakkan keutamaan pada menyelamatkan nyawa Zara.
Beliau berkata ketika Zara tiba di wad kecemasan dan trauma di HQE, keadaannya adalah kritikal.
Menurut Dr Voo, mereka tidak memanggil polis kerana keadaan Zara sangat kritikal, dan berdasarkan maklumat tambahan daripada petugas perubatan mereka juga tidak dapat memastikan mekanisme insiden yang menyebabkan kecederaan dialami arwah.
“Dalam kes ini, kami mengutamakan usaha menstabilkan pesakit,” kata Dr Voo.
Beliau juga memberitahu koroner bahawa ketika Zara tiba di hospital, tiada pegawai polis mahupun ibu Zara, Noraidah Lamat, berada di situ.
Menjawab soalan Ram sama ada beliau sedar pakaian Zara sepatutnya diserahkan kepada polis atau boleh digunakan untuk analisis forensik, Dr Voo berkata perkara itu tidak dilakukan pada masa terbabit kerana beliau sedang berusaha menyelamatkan nyawa pesakit dan selepas pakaian ditanggalkan ia disimpan di dalam beg oleh kakitangan mereka.
Dr Voo, yang mempunyai lima tahun pengalaman sebagai pegawai perubatan di unit kecemasan dan trauma, turut berkata beliau tidak merujuk Zara ke Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) atas sebab yang sama iaitu menyelamatkan nyawa.
OSCC berfungsi untuk rujukan kes membabitkan penderaan kanak-kanak, buli dan rogol, antara lain.
Apabila ditanya oleh Ram, Dr Voo memberi keterangan bahawa beliau tidak melihat sebarang “kecederaan corak kod bar”, iaitu tanda berbentuk garisan selari, pada tubuh Zara ketika merawatnya.
Ram bertanya sama ada beliau pernah terlihat sebarang kecederaan seperti itu pada tubuh Zara.
Dr Voo menjawab: “Tidak, saya tidak perasan sebarang kecederaan seupama itu.”Apabila ditekan sama ada beliau gagal menyedarinya atau tidak memeriksa tubuh Zara dengan betul, Dr Voo menjelaskan:“Ketika pesakit tiba, kami menjalankan pemeriksaan segera pada tangan dan lengan. Kami mendapati terdapat keabnormalan pada tangan kiri, yang kemudiannya dipasang belat“Pada masa itu, diagnosis awal ialah patah tertutup. Tiada sebarang rekod mengenai kecederaan berbentuk garisan selari yang menyerupai kod bar,” katanya.
Saksi kelima Inspektor Maidon Bernadus berkata simulasi polis menunjukkan bahawa jatuhan secara tegak dari koridor tingkat tiga asrama sekolah adalah paling hampir dengan lokasi Zara ditemui meninggal dunia.
Maidon, yang mengetuai pembinaan semula tempat kejadian bersama pasukan Crime Scene Investigation (CSI) dari Ibu Pejabat Polis Sabah, berkata dua simulasi telah dijalankan di sekolah pada 3 Ogos, iaitu satu dengan patung dijatuhkan terus ke bawah dan satu lagi dengan sedikit tolakan ke hadapan.
Beliau memberitahu koroner bahawa ujian pertama jatuh pada jarak 2.14m dari bangunan manakala ujian kedua jatuh sejauh 3.45m.
“Simulasi pertama lebih hampir dengan kedudukan mangsa seperti yang direkodkan dalam siasatan awal,” kata Maidon.
Simulasi itu dilakukan pada jam 3 pagi iaitu anggaran masa kejadian, menggunakan kedua-dua lampu asrama serta lampu menara tambahan forensik.
“Patung seberat 10kg ditambah berat menggunakan batu bata untuk menjadikan jumlah beratnya 53kg, agar hampir sama dengan berat badan Zara. Bagaimanapun, ketinggian patung adalah 180cm, lebih tinggi 27cm berbanding mangsa yang berketinggian 153cm.
“Pembinaan semula tempat kejadian dijalankan atas permintaan pegawai penyiasat (IO) susulan kematian Zara,” katanya dalam kenyataan saksi.
Beliau menambah pembinaan semula itu berakhir sekitar jam 6.30 pagi selepas gambar dan video kedua-dua simulasi direkodkan untuk rujukan.
Sementara itu, Ram bertanya: Apabila berlaku impak dalam simulasi anda, apakah kerosakan berlaku pada patung itu?Maidon: Kerosakan teruk pada kaki dan kepala.
Beliau juga berkata cuaca semasa simulasi tidak berangin atau hujan.
Ram: Bagaimana bunyi ketika patung anda jatuh menghentam lantai bawah pada jam 3 pagi?Maidon: Bunyi dentuman kuat “boom!!”.
Ram: Adakah ia kuat kerana ia patung?Maidon: Ya.
Ram: Adakah bunyinya tetap kuat sekiranya manusia? Itu maksud anda?Maidon: Ya. Mungkin sama.
Beliau turut memberitahu koroner bahawa semasa simulasi dijalankan pada hujung minggu, tiada pelajar di sekolah kerana mereka pulang ke rumah.
Mahkamah meminta Maidon membawa patung yang rosak itu ke mahkamah pada Rabu jika kedua-duanya masih ada.
Pegawai pendakwaan terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Nahra Dollah, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fairus Johari, Dana Arabi Wazani, Dacia Jane Romanus dan Sofia Sawayan.
Pasukan peguam keluarga Zara pula ialah Rizwandean, Shahlan Jufri, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Bagi pihak bapa Zara, Mahathir Hashim Marikin diwakili oleh peguam Sherzali Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Empat remaja lain diwakili peguam Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah manakala peguam Ram, Joan Goh, dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang lagi remaja.
Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan wakil Kementerian Pendidikan hadir sebagai pemerhati prosiding.
Inkues bersambung.


