
KOTA KINABALU - Dua doktor dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) dijangka dipanggil sebagai saksi seterusnya dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang berlangsung di Mahkamah Koroner di sini pada Selasa.
Perkara itu dimaklumkan peguam, Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang daripada lima remaja tertuduh dalam kes berkenaan.
“Saya fikir doktor, kerana berdasarkan rekod, si mati telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth. Dari situ, terdapat dua orang doktor yang merawatnya. Itulah sebabnya saya bertanya kepada Doktor Jessie Hiu (saksi pertama) sama ada beliau menerima laporan lain, dan saya percaya dua doktor itu akan dipanggil.
“Selain itu, saya fikir juga individu yang menghantarnya menaiki ambulans dari Kinarut ke HQE akan dipanggil sebagai saksi. Jadi saksi-saksi itu akan dipanggil minggu ini, kemudian lawatan mahkamah pada Khamis.
“Akses agak terhad, tetapi kami akan kembali dan bertanyakan soalan di mahkamah selepas itu,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu selepas prosiding pada Isnin.
Katanya lagi, prosiding pada Rabu hanya akan berlangsung setengah hari kerana pegawai pengendali perlu membuat persediaan bagi lawatan ke lokasi kejadian pada pagi Khamis.
“Malah peguam juga dihadkan, hanya dua orang sahaja dibenarkan masuk untuk melihat lokasi kerana lawatan mahkamah itu penting. Kita akan lihat bagaimana mangsa jatuh dan dari tingkat berapa. Sudah tentu demonstrasi akan dibuat di tingkat satu,” katanya.
Mengulas sama ada pengamal media dibenarkan hadir ke lokasi, beliau tidak pasti namun menegaskan perlu ada ketelusan dalam prosiding tersebut.
“Jika hakim benarkan, ya. Kalau tidak, saya tidak tahu. Sepatutnya dari segi liputan dan ketelusan, media patut dibenarkan. Namun, saya tidak pasti sama ada anda akan menerima ancaman selepas itu. Semoga kita terus dilindungi Tuhan,” katanya.
Sementara itu, beliau bersetuju dengan kenyataan Peguam Negara bahawa perbicaraan sepatutnya diberikan kepada pihak yang benar-benar terlibat termasuk pasukan peguam dan media.
“Saya juga bersetuju dengan kenyataan Peguam Negara, kesemua perlindungan harus diberikan termasuk kepada media, bagi menentang pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya sendiri juga menerima ancaman. Dalam kes saya, polis sedang menyiasat dan telah mengesan nombor telefon, jadi biarlah mereka jalankan siasatan.
“Namun, kami masih berada di sini. Sama ada ada ancaman atau tidak, kami tetap di sini untuk mendedahkan kebenaran. Semoga perjalanan ini semakin jelas dan ada hala tujunya,” katanya.
Sebelum itu, Ram bersama pasukannya terdiri daripada Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan hadir sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues tersebut.
Lagi artikel berkaitan:

