
PELAKON dan usahawan popular, Zara Zya, tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa seorang individu yang dikenali sebagai Mohd Hazri Hisyam Ab Wahab menyamar sebagai dirinya untuk memperdaya orang ramai.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh pemilik nama penuh Zainurul Razia Mohd Zainuddin di
, memaklumkan lelaki tersebut menggunakan pelbagai helah termasuk menghantar mesej secara bertulis dan bercetak melalui aplikasi WhatsApp semata-mata untuk memperdaya mangsa dan meraih wang.
“Dia cipta cerita kononnya ada projek usaha sama antara saya dan syarikat penerbangan Malaysia Airlines. Malah, dia turut mendakwa saya ada hubungan istimewa dengannya dan bakal berkahwin dalam masa terdekat. Semuanya tipu semata-mata,” ujar beliau.

Zara turut menegaskan bahawa beliau tidak mengenali individu berkenaan, namun lelaki itu pernah beberapa kali datang ke gerainya semasa Ramadan lepas dan membeli kambing perap dalam jumlah yang banyak atas alasan untuk infaq.
“Saya terkejut dan malu apabila perkara ini disampaikan sendiri oleh mangsa kepada pengurus saya, @jamal_salleih. Laporan polis telah pun dibuat dan Mohd Hazri Hisyam diminta membuat permohonan maaf secara terbuka,” katanya.

Menurut Zara, individu tersebut telah dihubungi oleh pihak polis untuk membantu siasatan namun sehingga kini masih gagal tampil dengan pelbagai alasan.

Zara juga memaklumkan perkara tersebut telah dirujuk kepada pihak peguamnya dan memberi tempoh 24 jam kepada Mohd Hazri Hisyam untuk membuat permohonan maaf secara terbuka, atau berdepan tindakan saman fitnah di mahkamah.
“Ini soal maruah dan nama baik saya. Jika dia masih berdiam diri, tindakan undang-undang akan diambil bagi membersihkan nama saya daripada fitnah ini,” tegasnya.


