
KUALA LUMPUR - Ibu kepada kanak-kanak autistik berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matin, didapati bersalah atas tuduhan pengabaian hingga menyebabkan kecederaan fizikal hari ini.
Susulan sabitan, dia dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun bermula hari ini, dan diperintahkan menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta cagaran RM3,000.
Dia juga diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam, yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas hukuman penjara ke atasnya berakhir.
Keputusan berkenaan dibuat Hakim Dr Syahliza Warnoh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.
Hakim Dr Syahliza Warnoh ketika membacakan penghakiman berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Ismanira Abdul Manaf, 30 tahun.
“Pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah,” katanya.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang sekitar waktu tengah hari 5 Disember 2023, sebelum mayatnya ditemui pada 9.55 malam, keesokan harinya.
Mayat kanak-kanak malang tersebut dijumpai di sebuah anak sungai berhampiran kediamannya iaitu Apartment Idaman di Damansara Damai.
Menurut pindaan pertuduhan, Ismanira sebagai individu yang mempunyai tanggungjawab menjaga anaknya, didakwa telah melakukan pengabaian dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Prosiding hari ini turut melibatkan hujahan mitigasi oleh peguam bela tertuduh serta hujahan pemberatan oleh pihak pendakwaan, diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, yang turut didakwa atas tuduhan sama bagaimanapun telah dibebaskan Julai lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Kes Zayn Rayyan menerima liputan meluas media dan menarik perhatian seluruh negara, malah wakil media berkumpul di mahkamah seawal jam 8 pagi tadi untuk membuat liputan terhadap perbicaraan berprofil tinggi ini.
Terdahulu, 28 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan antara Februari dan April 2024. - Getaran, 31 Oktober 2025

