Lelaki didenda RM3,000 berjudi di tempat awam

LocalPolitics
16 Oct 2025 • 5:00 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 22 tahun diperintahkan oleh Mahkamah Majistret pada Rabu untuk membayar denda RM3,000 atau berdepan penjara sebulan selepas mengaku bersalah berjudi di tempat awam.

Mohammad Rizal Azwan Irwan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas kesalahan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian menggunakan telefon bimbit di premis JC Wings Enterprise, Pekan Inanam pada 30 September lalu kira-kira jam 3.30 petang.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut Pegawai Pendakwa Inspektor Yusdi Basri tertuduh didapati sedang berjudi dalam talian menggunakan telefon bimbit selepas siasatan dibuat berdasarkan laporan polis.

Beliau berkata telefon bimbit itu disahkan digunakan sebagai peranti perjudian yang mampu mengakses platform perjudian dalam talian di tempat awam.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, pencetak mudah alih berwarna hitam, sekeping kertas bercetak nombor dan huruf yang disyaki keputusan perjudian serta wang tunai sebanyak RM82.

Tertuduh diwakili oleh peguam bela bertugas Lim Ming Zoong @ Lawrence yang memohon hukuman ringan manakala Inspektor Yusdi memohon hukuman berbentuk pengajaran.

Mahkamah turut memerintahkan wang tunai RM82 yang dirampas semasa siasatan dilucut hak kepada hasil kerajaan.