Bagaikan cendawan tumbuh lepas hujan, suku terakhir 2024 ini bakal menyaksikan pelbagai kereta elektrik akan ditawarkan untuk pengguna. Jika minggu lepas Volvo EX30 sudah dilancarkan, dan pertengahan bulan ini Leapmotor C10 akan dilancarkan, hari ini Zeekr Malaysia telah membuka tempahan untuk dua model kereta elektrik mereka iaitu Zeekr X dan Zeekr 009.

Zeekr X merupakan SUV yang ditawarkan dalam dua versi, iaitu Premium dan Flagship AWD. Versi Premium mempunyai motor elektrik di bahagian belakang yang mempunyai kuasa kuda 268 hp, membolehkan pecutan 0-100km/j dalam masa 5.6 saat. Versi Flagship AWD pula mempunyai dua motor elektrik yang memacu kesemua tayar, menghasilkan kuasa kuda 422 hp bagi membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.8 saat. Kedua-dua versi ini mempunyai bateri sebesar 66 kWh yang dilengkapkan pengecasan pantas DC 150kW membolehkan pengecasan 10%-80% dalam masa 30 minit.

Zeekr 009 pula merupakan MPV yang boleh memuatkan sehingga 7 penumpang, dan ditawarkan dalam dua versi iaitu Luxury 7 Penumpang dan Ultra Luxury 6 Penumpang. Kedua-dua versi ini menggunakan dua motor elektrik yang memacu kesemua tayar, menghasilkan kuasa kuda 603 hp dan 693 tork yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat. MPV ini mempunyai bateri sebesar 116 kWh yang memberikan jarak perjalanan 582 KM WLTP dan dilengkapkan dengan pengecasan pantas DC 150KW memendekkan masa pengecasan dari 10%-80% sepantas 30 minit.

Kedua-dua model ini turut ditawarkan dengan pelbagai ciri-ciri pintar untuk pemanduan, ciri-ciri keselesaan premium yang jelas sekali untuk Zeekr 009 seperti adanya 30 pembesar suara Yamaha, kulit kusyen Nappa, kerusi individu dengan meja dan paparan OLED 17-inci yang dimuatkan di bawah bumbung untuk tontonan penumpang di barisan belakang.
Buat masa ini harga untuk kedua model ini beserta variasinya masih belum diumumkan, namun Zeekr menganggarkan model Zeekr X akan dijual sekitar RM 180,000 kebawah dengan harga tempahan RM 2,000. Model Zeekr 009 pula disasarkan untuk dijual sekitar RM 370,000 kebawah, dengan harga tempahan RM 4,000. Anda boleh melakukan tempahan menerusi laman rasmi mereka.
- Tempah: Zeekr X & Zeekr 009


