Zetrix AI dilantik sebagai ejen Perkeso uruskan skim pekerja sendiri, suri rumah

LocalBusiness & Finance
17 Apr 2026 • 9:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix AI dilantik sebagai ejen Perkeso uruskan skim pekerja sendiri, suri rumah Image from: Zetrix AI dilantik sebagai ejen Perkeso uruskan skim pekerja sendiri, suri rumah liza17/04/2026 - 09:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 April – Zetrix AI Bhd  dilantik oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai ejen untuk menguruskan proses pendaftaran dan sumbangan di bawah skim keselamatan sosial bagi sektor tidak formal.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu, yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Bhd berkata pelantikan tersebut berkuat kuasa pada 16 April 2026.

 

Di bawah pelantikan itu, Zetrix AI akan menguruskan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri serta Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah.

 

Skim Pekerjaan Sendiri memberi perlindungan kepada individu yang bekerja sendiri seperti peniaga kecil, penghantar makanan dan pekerja bebas terhadap risiko kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

 

Sementara itu, Skim Suri Rumah memberi perlindungan sosial kepada suri rumah terhadap risiko domestik ketika menguruskan hal rumah tangga.

 

Zetrix AI akan bertanggungjawab menguruskan proses pendaftaran dan sumbangan secara profesional, manakala Perkeso pula bertanggungjawab memastikan pemprosesan segera pendaftaran, caruman serta liputan perlindungan di bawah skim berkenaan.

 

Tempoh pelantikan bagi Skim Pekerjaan Sendiri adalah selama tiga tahun sehingga 17 Mac 2029, manakala bagi Skim Suri Rumah pula selama satu tahun sehingga 17 Mac 2027.

 

Perjanjian tersebut turut menetapkan bahawa tempoh pelantikan boleh dilanjutkan melalui notis bertulis, atau ditamatkan oleh Perkeso pada bila-bila masa atas apa-apa sebab.

 

Butiran lanjut mengenai perjanjian itu tidak didedahkan dalam pemfailan berkenaan. Zetrix AI berkata pelantikan tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap prestasi kewangan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Sementara itu, saham Zetrix AI ditutup lebih tinggi pada Khamis, meningkat 3.5 sen atau 4.43% kepada 82.5 sen, dengan nilai pasaran syarikat dianggarkan sekitar RM6.65 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article