
KUALA LUMPUR – Malaysia mengesahkan sekurang-kurangnya satu wakil ke pentas final acara beregu wanita Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong apabila dua pasangan negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan, melangkah ke separuh akhir, hari ini.
Kedua-dua gandingan negara memperagakan aksi terbaik mereka apabila menyingkirkan lawan masing-masing dari Amerika Syarikat pada aksi suku akhir di Grand Hall, Kai Tak Arena, Hong Kong.
Lebih mencuri perhatian, gandingan muda negara, Zi Yu-Noraqilah, melakar pencapaian membanggakan apabila mara ke separuh akhir kejohanan berstatus Super 500 buat kali pertama dalam karier mereka.
Pasangan yang menghuni ranking ke-41 dunia itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk menundukkan beregu No. 25 dunia, Francesca Corbett-Jennie Gai, menerusi pertarungan tiga set 21-19, 16-21, 21-16 dalam tempoh 58 minit.
Kemenangan itu bukan sahaja mengesahkan kemaraan mereka ke kelompok empat terbaik, malah menjadi kemenangan pertama Zi Yu-Noraqilah ke atas pasangan Amerika berkenaan sekali gus meletakkan rekod pertemuan 1-0.
Noraqilah meluahkan rasa gembira apabila mereka mampu mencatat keputusan positif meskipun sudah lama tidak bergandingan dalam kejohanan kompetitif.
“Zi Yu mempunyai komitmen pada kejohanan di peringkat remaja, manakala saya pula terpaksa berehat seketika akibat kecederaan. Sekarang saya sudah pulih, cuma belum sepenuhnya, boleh dikatakan dalam 70 peratus,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan.
Sementara itu, beregu wanita No. 1 negara, Pearly-Thinaah turut mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengetepikan cabaran satu lagi pasangan Amerika Syarikat, Lauren Lam-Allison Quynh Lee.
Gandingan ranking keempat dunia itu hanya mengambil masa 37 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-18, 21-11 ke atas pasangan yang menghuni ranking ke-14 dunia berkenaan.
Pertembungan sesama sendiri pada aksi separuh akhir esok bakal menyaksikan pertemuan pertama di pentas antarabangsa antara Pearly-Thinaah dan Zi Yu-Noraqilah, sekali gus menjamin slot wakil negara ke final dalam usaha memburu gelaran juara. -KOSMO! ONLINE
The post Zi Yu–Noraqilah jumpa Pearly–Thinaah di separuh akhir appeared first on Kosmo Online.






