Zii Jia temui rentak kemenangan

21 Jan 2026 • 6:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aksi Zii Jia ketika menentang pemain Korea Selatan, Jin Hyeok Jeon semasa Kejohanan Dunia di Paris, Perancis pada Ogos lalu. Foto: AFP

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia akhirnya menemui rentak kemenangan apabila berjaya melepasi pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Indonesia di Istora Senayan, pada Rabu.

Zii Jia yang kini berada di ranking ke-119 dunia bangkit mempamerkan prestasi meyakinkan untuk menumbangkan pemain ranking ke-38 dunia dari India, HS Prannoy dengan keputusan straight set 21-19, 21-11.

Kejayaan ini hadir tepat pada masanya buat pemain kelahiran Kedah itu yang sebelum ini bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas kembali daripada rehat panjang akibat kecederaan belakang.

Zii Jia dilihat terdesak memburu kemenangan selepas mengalami nasib malang tersingkir seawal pusingan pertama dalam dua kejohanan terdahulu, iaitu di Terbuka Malaysia dan Terbuka India minggu lalu.

Kemenangan ke atas Prannoy menjadi titik tolak kebangkitan Zii Jia untuk melangkah lebih jauh sekali gus menamatkan penantian panjangnya untuk kembali bergelar juara dan terus memperbaiki ranking dunia.