
KUALA LUMPUR - “Satu pengalaman yang tak akan kami lupakan.”
Itu kata pelakon dan aktivis, Datin Seri Nur Heliza Helmi ketika menceritakan detik hitam yang dilalui beliau dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah selepas ditahan oleh tentera Israel semasa menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.
Menurut Heliza, mereka berada di atas kapal lebih sebulan dengan pelbagai cabaran dan tekanan yang sukar digambarkan.
Namun katanya, cabaran sebenar bermula apabila mereka ditahan dan dibawa ke penjara Israel.
“Sejak awal lagi mereka sudah mula gertak. Dengan beg sandang berat di belakang, mereka sengaja tolak kami seolah-olah kami bukan manusia.
“Dalam penjara, kami tidak diberi makan, ubat pun tidak dibenarkan. Kadang-kadang senapang laser diacukan ke arah kami untuk menakut-nakutkan sedangkan kami tidak buat apa-apa,” katanya.
Jelas Heliza, keadaan dalam penjara itu sangat tidak berperikemanusiaan.
“Satu sel hanya boleh muat tiga atau empat orang, tetapi mereka sumbat kami sehingga 15 orang. Tapi yang peliknya, bila kami masuk penjara, sebenarnya merekalah yang takut.
“Kami tahu kami berada di pihak yang benar,” katanya.
Beliau turut mendedahkan kewujudan operasi risikan siber Israel, yang dipercayai memainkan peranan dalam menyebarkan propaganda serta mengawal persepsi terhadap misi kemanusiaan seperti GSF.
“Sebelum kami masuk penjara, ada beberapa pegawai yang sebut ‘I saw you on TikTok’,
“Itu bermakna mereka dah tahu siapa kami. Jadi tak mustahil Unit 8200 ini telah membayar cyber troopers untuk buat propaganda supaya dunia lupa bahawa isu sebenar adalah tentang pembebasan Palestin,” katanya.
Justeru tegas Heliza, beliau dan rakan-rakan aktivis lain yang turut menyertai misi GSF memilih untuk tidak melayan serangan atau komen berbaur kebencian di media sosial, kerana sudah mengetahui punca dan modus operandi di sebaliknya.
“Kami tahu siapa mereka sebenarnya dan kami tak akan biarkan agenda ini memadamkan perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Heliza memberitahu, penahanan dan penyeksaan yang mereka alami bukan sia-sia.
“Asbab sujud di atas kapal Flotilla, satu dunia telah bangkit. Ini baru permulaan perjuangan. Kami akan terus bersuara untuk membebaskan Palestin,” katanya. - Getaran, 9 Oktober 2025

