
SEPANG - Kemeriahan yang bersulam sayu dan sebak menyelubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi, susulan ketibaan 23 peserta Global Sumud Flotilla (GSF).
Ada sayu di hati kerana memikirkan hasrat ke Gaza yang sekali lagi tidak kesampaian dek ulah tentera Zionis, dan ada rindu sarat di dada untuk bertemu insan tersayang, selepas hampir dua bulan ditinggalkan.
Antara yang menarik perhatian ialah perkongsian jujur seorang peserta, Muhammad Hareez Adzrami Harun, 25, atau lebih dikenali sebagai Haroqs sewaktu berada dalam tahanan tentera Israel (IDF).
Seperti diketahui umum, anak muda yang menggemari coklat itu membawa sejumlah besar makanan ringan berkenaan untuk diagihkan kepada kanak-kanak di Gaza.
Hasrat tersebut bagaimanapun tidak kesampaian selepas kapal dinaikinya dipintas Zionis.
“Coklat saya diorang (IDF) ambil, habis semua tak sempat makan.
“Tapi tak apa, mereka rampas coklat saya, Allah gantikan dengan ikan. Alhamdulillah,” katanya tersenyum, menggambarkan ketenangan dan keyakinannya terhadap rezeki Allah biarpun dalam ujian.
Sekadar info, pintasan dilakukan tentera Israel ke atas semua kapal yang menyertai misi GSF membuatkan pantai Gaza ‘bebas’ seketika, sekali gus membuka ruang untuk nelayan Palestin ‘berpesta’ menangkap serta menjala ikan selepas sekian lama dihalang berbuat demikian.
Dalam pada itu, Mohd Zulfadli Khiruddin, suami kepada pelakon dan pendakwah Yatt Hamzah, turut menzahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa rakyat Malaysia yang menantikan kepulangan mereka di KLIA.
“Saya rasa sangat terharu. Tak sangka ramai rakyat Malaysia yang menunggu kami balik. Kalau diberi peluang, saya nak pergi lagi berkali-kali demi rakyat Palestin, Insya-Allah,” katanya dengan penuh semangat.
Yatt Hamzah yang turut hadir menyambut kepulangan suaminya pula berkata, pengalaman ini memberi inspirasi kepadanya untuk turut serta dalam misi bantuan akan datang.
“Selepas ini mungkin giliran saya pula untuk ke Gaza. Kalau ada peluang, saya tak tolak untuk pergi bersama keluarga bagi menunaikan misi bantuan buat Palestin,” katanya.
Walaupun tidak berjaya tiba di Gaza, misi GSF berhasil mencapai objektif utama iaitu Break The Siege dan Break The Silence.
Misi berkenaan bukan sekadar satu bantuan kemanusiaan, tetapi manifestasi kepada solidariti rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa seluruh dunia terhadap perjuangan membebaskan bumi Palestin. - Getaran, 8 Oktober 2025
