
Pelakon, Zizan Nin berpendapat tidak perlu untuk mempertikaikan kemampuan seseorang pengarah hanya berdasarkan jantina kerana tindakan sedemikian boleh digambarkan sebagai satu bentuk diskriminasi.Menerusi perkongsian di Threads, Zizan berkata setiap pengarah mempunyai visi dan sentuhan kreatif tersendiri dalam menghasilkan sesebuah karya.“Berdasarkan pengalaman lebih dua dekad bekerja bersama pelbagai pengarah tanpa mengira jantina, saya berpandangan bahawa mempertikaikan keupayaan pengarah berdasarkan jantina is totally unacceptable,” tegasnya.Tegas Zizan lagi, sudah tiba masanya untuk menghentikan sikap melabel serta memandang rendah kemampuan pengarah wanita dalam menghasilkan karya seni.Malah, Zizan menyifatkan tindakan memandang rendah kemampuan pengarah wanita sebagai satu bentuk buli yang tidak sepatutnya berlaku dalam industri seni.“Ia merupakan satu bentuk diskriminasi dan buli. Seni bersifat subjektif dan mempunyai skop yang sangat luas, setiap pengarah mempunyai visi serta sentuhan kreatif tersendiri.“Berhentilah melabel dan menganggap pengarah wanita sebagai golongan kelas kedua,” tulisnya.
