
Zulkifli Hasan Sempat Santuni Jemaah Di Arafah, Tinjau Operasi Haji
Hari Arafah merupakan salah satu hari yang sangat istimewa dalam kalendar Islam, khususnya bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Ia jatuh pada 9 Zulhijjah, sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha, menjadi antara detik paling agung dalam ibadah haji apabila para jemaah berhimpun di Padang Arafah untuk berwukuf.
Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji, hari ini tetap membawa pelbagai keutamaan dan kelebihan yang besar di sisi Allah SWT.
Ia bukan sekadar hari biasa, bahkan menjadi peluang untuk memperbanyakkan doa, amal soleh serta puasa sunat yang dijanjikan ganjaran yang sangat besar.
Oleh itu, memahami maksud dan kelebihan Hari Arafah amat penting agar kita tidak melepaskan peluang yang datang hanya sekali dalam setahun ini.
Tinjauan Operasi Haji di Arafah
Suasana hari wukuf di Arafah turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang meluangkan masa bertemu serta menyapa jemaah haji Malaysia, selain meninjau sendiri keadaan kebajikan dan kemudahan yang disediakan sepanjang mereka berada di Tanah Suci.
Menurut beliau, hari Arafah adalah antara detik paling agung dalam kalendar ibadah umat Islam, yang bukan sahaja memberi makna besar kepada jemaah haji Malaysia, malah kepada seluruh Muslim yang berhimpun di Tanah Suci sebagai tetamu Allah SWT.

Beliau berkata, pelbagai maklum balas telah dikongsikan oleh jemaah mengenai perjalanan operasi haji pada musim ini, dan setiap cadangan penambahbaikan yang diterima akan diteliti serta diambil kira dengan sewajarnya.
"Alhamdulillah kita dapatkan maklum balas yang sangat baik daripada semua jemaah haji kita, semuanya tetap berada dalam keadaan yang semangat dan ceria untuk menunaikan haji pada tahun ini," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menziarahi jemaah-jemaah haji yang diuji dengan ujian kesihatan, sebagai usaha memberikan sokongan dan perhatian kepada mereka sepanjang berada di Tanah Suci.

Beliau turut memuji komitmen petugas kesihatan yang disifatkan menjalankan tugas secara profesional dan sistematik dalam memberikan rawatan kepada jemaah yang memerlukan.
“Kita nampak bagaimana rawatan diberikan dengan begitu sistematik sekali. Semoga semua jemaah yang diuji dengan kesihatan juga dapat menunaikan wukuf di Arafah dan menyempurnakan haji mereka dengan sebaiknya,” katanya.
Seramai 28,000 jemaah haji di bawah Muassasah Tabung Haji bersama 4,000 petugas haji ditempatkan di lokasi yang berlainan.

Kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan baik, dengan pelbagai maklum balas positif diterima daripada jemaah berkaitan perkhidmatan yang disediakan.
Dalam masa yang sama, beberapa cadangan penambahbaikan bersifat konstruktif turut dikemukakan dan kini sedang diteliti dengan rapi untuk dipertimbangkan pelaksanaannya pada masa akan datang, bagi memastikan mutu perkhidmatan dapat terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Baca juga:

