Zuria wanita ikon perdagangan global, bantu usahawan tempatan tembusi antarabangsa

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Zuria wanita ikon perdagangan global, bantu usahawan tempatan tembusi antarabangsa

MEMULAKAN kerjaya sebagai pengaturcara (programmer) yang aktif membangunkan platform e-dagang telah menjadi titik tolak kepada Zuria Abdullah menceburkan diri dalam dunia keusahawanan dan membimbing usahawan tempatan menembusi pasaran global.

Daripada penglibatannya dalam pembangunan sistem dan analisis pangkalan data, Zuria, 45, mula melihat potensi besar sektor logistik sebagai komponen penting dalam ekosistem e-dagang yang menyokong perdagangan rentas sempadan sekali gus mendorongnya menceburi bidang perniagaan logistik antarabangsa.

Kini, selepas 15 tahun berkecimpung dalam industri tersebut, Zuria bukan sahaja menyediakan penyelesaian logistik import dan eksport, malah aktif membimbing usahawan dalam pasaran global, khususnya dengan negara China.

Pengalaman jatuh bangun sepanjang menjalankan perniagaan itu menjadi bekalan berharga buat beliau untuk terus memperkukuh kepakaran serta berkongsi ilmu melalui khidmat bimbingan perdagangan antarabangsa.
Sumbangan dan komitmennya dalam bidang berkenaan turut mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wanita Ikon Selangor 2026 bagi kategori Ikon Perdagangan Global baru-baru ini.

Menurut anak kelahiran Kampung Melayu Seri Kundang, Sungai Buloh itu, usaha membimbing usahawan bukan sekadar perkongsian ilmu, sebaliknya merupakan perjuangan peribadi bagi memastikan lebih ramai peniaga tidak menjadi mangsa penipuan akibat kurangnya pengetahuan mengenai selok-belok perdagangan antarabangsa.

Zuria sendiri pernah lalui pengalaman pahit apabila rakan kerjasama dalam bidang logistik memintanya mengenakan caj tidak wajar kepada pelanggan bagi urusan kemasukan barangan dari China ke Malaysia.

“Saya pernah diminta mengenakan caj tambahan sebanyak RM25,000 kepada pelanggan atas alasan bayaran cukai bagi membolehkan sebuah kontena dari China dibawa masuk ke Malaysia.

“Ketika itu pengetahuan dan kepakaran saya dalam bidang logistik masih terbatas. Saya cuma uruskan aspek pemasaran dan jualan, manakala urusan teknikal penghantaran dikendalikan rakan kerjasama lebih berpengalaman. Namun, saya kemudian dapati cukai tambahan itu sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Image from: Zuria wanita ikon perdagangan global, bantu usahawan tempatan tembusi antarabangsa
Zuria merupakan Pengasas dan Pengarah Urusan Business Global Shipping and Training (BGST).

Pengalaman tersebut benar-benar membuka mata Zuria tentang pentingnya menguasai ilmu dalam bidang yang diceburi, bukan sekadar bergantung kepada kepakaran orang lain.

“Peristiwa pahit tersebut menjadi titik perubahan dalam perniagaan saya. Saya nekad mendalami ilmu perkapalan, logistik serta prosedur import dan eksport sehingga memperoleh pensijilan profesional dalam bidang berkenaan.

“Sejak itu, saya berazam untuk berkongsi ilmu dan pengalaman agar lebih ramai usahawan memahami proses perdagangan antarabangsa dan tidak melalui pengalaman yang sama,” katanya yang merupakan Pengasas dan

Pengarah Urusan Business Global Shipping and Training (BGST).

Mengulas mengenai perkhidmatan yang ditawarkan, Zuria berkata, BGST memberi tumpuan kepada dua segmen utama dalam perdagangan Malaysia-China iaitu pengurusan penghantaran kargo antarabangsa serta khidmat bimbingan import eksport.

“Saya menyediakan khidmat bimbingan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat multinasional serta usahawan di bawah agensi kerajaan seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

“Antara latihan yang ditawarkan termasuk kaedah mendapatkan dan mengimport stok perniagaan secara terus daripada pembekal di China tanpa melalui orang tengah.

“Selain itu, saya turut membimbing usahawan Malaysia yang berhasrat mengembangkan produk atau perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa khususnya China,” katanya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan jurulatih berdaftar HRD Corp.

Image from: Zuria wanita ikon perdagangan global, bantu usahawan tempatan tembusi antarabangsa
Menerusi kepakarannya dalam khidmat bimbingan perdagangan antarabangsa, Zuria sering membimbing dan melatih usahawan-usahawan tempatan untuk menembusi pasaran global.

Sementara itu, menelusuri latar belakang kehidupannya, anak Selangor itu mengakui beliau bukan berasal daripada keluarga senang.

Kehilangan bapa ketika berusia sembilan tahun menyebabkan beliau bersama empat adik-beradiknya membesar dengan bergantung kepada pendapatan ibu yang bekerja sebagai pembantu am di sebuah jabatan kerajaan.

“Kehidupan kami ketika itu agak susah. Ibu selalu berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh kerana pendidikan merupakan jalan untuk mengubah nasib keluarga.

“Alhamdulillah, saya berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading dan memulakan kerjaya dalam bidang teknologi maklumat.

“Siapa sangka pengalaman bekerja dalam bidang itulah yang akhirnya membuka peluang untuk saya menceburi dunia perniagaan dan mengubah kehidupan,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.

Mengakui industri logistik antarabangsa yang didominasi lelaki menuntut ketahanan mental dan emosi yang tinggi, Zuria berkata, kejayaan dalam perniagaan bukan hanya diukur melalui keuntungan, sebaliknya juga kemampuan menghadapi pelbagai ujian.

Antara cabaran terbesar yang pernah Zuria hadapi ialah berurusan dengan pelanggan yang kurang memahami risiko perdagangan antarabangsa tetapi enggan menerima nasihat profesional.

“Saya pernah disaman oleh seorang pelanggan selepas barangannya mengalami kerosakan akibat kapal dilanda taufan semasa pelayaran.

“Sebelum penghantaran dibuat, saya sudah menasihatkannya supaya mendapatkan perlindungan insurans kerana pelbagai perkara di luar kawalan boleh berlaku sepanjang perjalanan di lautan.

“Namun, apabila kejadian itu berlaku, kami terpaksa berdepan tindakan undang-undang sehingga kes berlarutan lebih setahun dan melibatkan kos guaman yang tinggi.

“Alhamdulillah, akhirnya keputusan mahkamah memihak kepada kami,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Bagi Zuria, pengalaman tersebut bukan sekadar ujian dalam perniagaan, malah menjadi pengajaran penting untuk memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) syarikat, khususnya dalam pengurusan risiko dan komunikasi dengan pelanggan.

“Saya percaya setiap ujian ada hikmahnya.

“Apa yang penting, kita belajar daripada pengalaman dan sentiasa memperbaiki kelemahan,” ujarnya.

Image from: Zuria wanita ikon perdagangan global, bantu usahawan tempatan tembusi antarabangsa
ZURIA membimbing usahawan-usahawan khususnya untuk menembusi pasaran China.

Di sebalik pelbagai cabaran, Zuria berkata, kepuasan terbesar sepanjang 15 tahun dalam industri ini bukan hanya datang daripada pencapaian syarikat, tetapi juga kejayaan usahawan yang pernah menerima bimbingannya.

“Saya sangat bersyukur kerana berpeluang membantu ramai usahawan membangunkan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Saya masih ingat seorang usahawan yang pada mulanya hanya berniaga di pasar malam. Selepas mempelajari kaedah mengimport stok perniagaan secara terus dari China, beliau berjaya mengembangkan perniagaannya sehingga kini memiliki empat buah kedai.

“Seorang lagi usahawan yang sebelum ini hanya memasarkan produk makanan dan minuman dalam negara kini berjaya menempatkan produknya di rak pasar raya di China.

“Melihat mereka berkembang dan berjaya hasil ilmu yang dikongsi memberikan kepuasan yang sukar digambarkan,” katanya.

Kejayaan tersebut turut menyuntik semangat beliau untuk terus memperluas peranan BGST dalam membantu usahawan tempatan, selain menyimpan impian untuk membawa syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia suatu hari nanti.

Berkongsi nasihat kepada usahawan, Zuria menegaskan bahawa kekuatan dalaman merupakan antara asas terpenting untuk terus bertahan dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran.

Menurutnya, seseorang usahawan perlu membina ketahanan diri dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan semangat ketika berdepan kesukaran.

“Pokok pangkal kejayaan sesebuah perniagaan bermula daripada diri kita sendiri. Jika kita tidak mempunyai kekuatan dalaman, bantuan dan dorongan daripada orang lain sahaja tidak mencukupi.

“Kekuatan itu juga hadir apabila kita dikelilingi insan yang positif, menyokong dan mendorong kita menjadi lebih baik. Pada masa yang sama, jangan pernah berhenti berdoa kerana Allah SWT yang memegang hati kita.

“Selain itu, walau sepenat mana sekalipun, jangan mudah berputus asa.

“Ambillah masa untuk berehat, bercuti atau melakukan aktiviti yang disukai sebelum kembali dengan semangat dan tenaga baharu,” katanya yang gemar membaca dan mengembara ke pelbagai negara.

The post Zuria wanita ikon perdagangan global, bantu usahawan tempatan tembusi antarabangsa appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved