Zurich, GPM Malaysia agih 100 kit persediaan banjir bernilai RM25,000 kepada komuniti di Selangor
zulfadli
23/11/2023 - 10:49
KUALA LUMPUR 23 Nov - Zurich Malaysia (Zurich) menjalin kerjasama strategik dengan Global Peace Mission (GPM) Malaysia untuk melancarkan inisiatif bantuan banjir, ‘Lindungi Segala Perkara Yang Bermakna’.
Inisiatif itu bertujuan menyediakan sokongan menyeluruh serta langkah-langkah kesiapsiagaan untuk komuniti sebelum, semasa, dan selepas kecemasan banjir.
Kedua-dua pihak akan menyediakan 100 kit persediaan banjir yang direka khas untuk komuniti yang menetap di kawasan terdedah kepada risiko banjir.
Ia mengandungi barangan keperluan seperti senarai semak sebelum banjir, peti pertolongan cemas, ubat-ubatan, produk kebersihan diri dan bekalan penting seperti makanan sedia dimakan, air, wisel, dan lampu suluh.
Semua kit akan diagihkan ke lokasi yang terdedah kepada risiko banjir, seperti Banting, Selangor, demi memastikan penduduk di kawasan berisiko tinggi ini mempunyai sumber yang diperlukan untuk kekal selamat dan bersiap sedia.
Ia dikemukakan semasa kebanyakan perniagaan menilai risiko alam sekitar, terutamanya 'peristiwa cuaca ekstrem', sebagai antara 10 risiko global utama menurut Tinjauan Pendapat Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 yang baru dilancarkan dengan kerjasama Zurich dan Marsh.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara/Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, kerjasama dengan GPM Malaysia adalah bukti dedikasi yang tidak berbelah bahagi untuk menjadi jenama yang bertanggungjawab, mengutamakan komuniti, serta memperluas perlindungan kami melangkaui insurans dan takaful tradisional.

"Kami memahami cabaran getir yang dihadapi oleh mangsa banjir, dan kami benar-benar didorong oleh misi kami untuk menyokong dan membantu mereka dengan apa juga cara yang termampu.
"Selain itu, Program Daya Tahan Iklim Bandar (UCRP) Zurich Malaysia adalah contoh inisiatif daya tahan iklim berterusan kami, yang terus mengukuhkan komitmen untuk mencipta masa depan yang mampan dan berdaya tahan." katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kerjasama itu menunjukkan impak transformatif yang mampu dicapai apabila pihak korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpadu tenaga untuk mengatasi keperluan mendesak dalam komuniti.
"Menerusi kerjasama dengan Zurich, kami telah menggabungkan kepakaran mereka dalam insurans, takaful dan pengurusan risiko, dengan pengalaman misi kemanusiaan kami untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan membantu mereka yang terdedah kepada cabaran berkaitan banjir.
"Kerjasama sedemikian adalah penting dalam membina daya tahan dan menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia, supaya negara kita lebih selamat dan bersedia untuk semua rakyat," katanya. - DagangNews.com
