Zurich Malaysia perbaharui komitmen pemuliharaan hutan hujan tropika di Sabah

09/09/2025 - 14:18
Zurich Malaysia, Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika Malaysia jalin kerjasama lindung biodiversiti di Sabah Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 9 Sept – Zurich Malaysia memperbaharui kerjasama dengan Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan Hutan Hujan Tropika Malaysia (TRCRC) bagi tempoh setahun lagi untuk menyokong projek Koleksi Tumbuhan Hidup Hutan Hujan Tropika (TRLC) Merisuli di Sabah.
Kerjasama itu dilaksanakan di bawah inisiatif Zurich Cares yang menekankan kepentingan pemuliharaan biodiversiti, pemulihan hutan berskala besar dan pembinaan daya tahan ekosistem untuk jangka panjang.
Menerusi usaha ini, Zurich Malaysia dan TRCRC menyasarkan penanaman lebih 30,000 anak pokok spesies jarang ditemui, memulihkan lebih 50 hektar kawasan hutan rosak serta memperkenalkan semula spesies terancam bersama komuniti setempat.
Projek ini turut memberi manfaat sosioekonomi apabila sebahagian besar tenaga kerja terdiri daripada penduduk kampung berhampiran, sekali gus membuka peluang pekerjaan baharu di samping memastikan kesinambungan usaha yang dipacu komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen syarikat terhadap perlindungan alam sekitar dan usaha mengekang kehilangan biodiversiti.
“Zurich Malaysia berbesar hati dapat berganding bahu bersama TRCRC untuk memastikan kelangsungan hutan hujan tropika negara.
“Selaras dengan komitmen kami melindungi segala perkara yang bermakna, usaha ini diyakini mampu menyumbang kepada daya tahan iklim tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak kerjasama itu bermula pada 2022, fokus utama diberikan kepada pemulihan spesies dipterokarpa yang merupakan komponen penting dalam ekosistem hutan hujan.
Lebih 60 peratus spesies itu kini tergolong dalam kategori terancam di Borneo.
Pemulihan dipterokarpa dianggap kritikal kerana ia membantu membina semula struktur hutan, meningkatkan keupayaan penyimpanan karbon dan menyediakan habitat semula jadi kepada hidupan liar.
Hasilnya, beberapa spesies terancam seperti gajah kerdil Borneo, orang utan, burung enggang, tarsier dan beruang matahari kembali menghuni kawasan tersebut.
Sepanjang tiga tahun lalu, inisiatif Zurich Cares telah menyaksikan lebih 54,000 anak pokok ditanam di pelbagai lokasi selain pemulihan lebih 53 hektar kawasan hutan.
Di samping itu, tapak semaian projek kini memiliki lebih 34,000 anak pokok terdiri daripada spesies dipterokarpa, buah-buahan hutan dan spesies jarang ditemui.
Selain itu, projek tersebut juga berjaya memelihara 63 spesies jarang ditemui, terancam dan sangat terancam (RTE), di samping mengenal pasti 37 pokok induk untuk pengumpulan benih pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif TRCRC, Dr Dzaeman Dzulkifli berkata, kerjasama dengan Zurich Malaysia membolehkan pihaknya meluaskan skala pemuliharaan hutan yang sebelum ini terhad kerana kekangan sumber.
“Pemuliharaan hutan hujan tropika adalah usaha yang kompleks dan berjangka panjang. Dengan sokongan Zurich Malaysia, kami dapat membina ekosistem yang lebih kondusif agar hutan ini terus subur serta kekal mampan untuk generasi akan datang,” katanya.
Kolaborasi Zurich Malaysia dan TRCRC dilihat sebagai contoh kerjasama korporat dan NGO yang bukan sahaja melindungi biodiversiti, tetapi turut memperkukuh komuniti setempat melalui peluang pekerjaan dan keterlibatan dalam projek berasaskan alam sekitar. - DagangNews.com
standard


