hamden13/08/2026 - 18:00 KUALA LUMPUR 13 Ogos - ZUS Coffee dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran awam permulaan (IPO) bagi perniagaan Malaysia yang berpotensi mengumpul sekurang-kurangnya RM1 bilion, dalam langkah yang boleh menilai kumpulan itu pada kira-kira RM4 bilion, lapor Bloomberg yang memetik sumber industri.
Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, pemilik ZUS Coffee, Zuspresso Sdn Bhd, sedang bekerjasama dengan beberapa penasihat kewangan berhubung cadangan penyenaraian tersebut.
IPO berkenaan berpotensi dilaksanakan di Bursa Malaysia seawal pertengahan 2027, kata sumber yang enggan dikenali kerana perkara itu masih sulit.
Bagaimanapun, perbincangan masih di peringkat awal dan butiran seperti masa, saiz serta struktur IPO masih boleh berubah.
Zuspresso setakat ini tidak memberikan komen berhubung perkara tersebut.
Miliki 1,000 cawangan
ZUS Coffee membuka cawangan pertamanya pada 2019 sebelum berkembang pesat sehingga mengatasi Starbucks Corp sebagai rangkaian kopi terbesar di Malaysia pada 2024.
Rangkaian kopi tempatan itu terus memperluas operasinya dan mencapai 1,000 cawangan pada Oktober, termasuk di pasaran luar negara seperti Thailand, Filipina dan Singapura.
Cadangan penyenaraian ZUS dijangka menyumbang kepada momentum IPO Malaysia, yang menyaksikan penawaran awam permulaan mengumpul kira-kira AS$1.5 bilion setakat tahun ini, meningkat daripada AS$978 juta dalam tempoh sama 2025, berdasarkan data Bloomberg.
Ikut jejak Oriental Kopi, Empire Premium
ZUS juga berpotensi menyertai barisan syarikat rangkaian makanan dan minuman yang telah disenaraikan di Bursa Malaysia, termasuk Oriental Kopi Holdings Bhd dan Empire Premium Food Bhd.
Oriental Kopi kini mempunyai nilai pasaran sekitar RM2.1 bilion, manakala Empire Premium Food mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM1.1 bilion.
Empire Premium Food yang memulakan dagangan pada April lalu telah meningkat kira-kira 43% sejak disenaraikan, manakala saham Oriental Kopi pula telah meningkat lebih dua kali ganda berbanding harga IPO pada awal tahun lalu. - DagangNews.com



