
KALABAKAN: Kerajaan Negeri Sabah mengenal pasti kawasan kira-kira 1,000 ekar di daerah ini untuk dibangunkan bandar baharu Kalabakan dalam usaha memperkukuhkan pembangunan kawasan strategik berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perancangan itu kini sedang diperhalusi dan akan dilaksanakan akan datang.
“Lokasi itu membabitkan pembangunan jaringan jalan raya ke kawasan sempadan serta kemudahan kompleks imigresen, kastam, kuarantin dan keselamatan (CIQS).
“Kerajaan sudah mengenal pasti satu kawasan lebih kurang 1,000 ekar untuk tujuan itu.
Kerajaan sedang membuat perancangan pelaksanaan bandar baharu Kalabakan, termasuklah CIQS di sempadan dan jalan raya dari daerah ini ke sempadan,” katanya sempena Program Jelajah Rakyat Parlimen Kalabakan di sini, hari ini.
Hajiji berkata, pembangunan bandar baharu itu bukan sekadar memberi tumpuan kepada penyediaan penempatan, sebaliknya berpotensi memperkukuh keterhubungan Kalabakan dengan kawasan sempadan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Katanya, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur jalan raya di Kalabakan bagi memastikan daerah berkenaan tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Menurutnya, beberapa program pembangunan jalan raya sedang dilaksanakan dan bakal dilaksanakan, manakala sebahagian lagi masih dalam proses permohonan.
“Saya tidak dapat perincikan satu persatu tetapi jelas dalam taklimat saya hadiri tadi banyak program pembangunan jalan raya akan dilaksanakan di kawasan ini,” katanya.
Hajiji berkata, lawatan kerja berkenaan turut memberi peluang kepada kerajaan negeri mendengar sendiri permasalahan rakyat serta mengenal pasti projek yang perlu diberi keutamaan.
Katanya, pembangunan jaringan jalan raya yang lebih baik antara Kalabakan dan kawasan sempadan penting bagi meningkatkan akses penduduk serta menyokong pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan. – UTUSAN
The post 1,000.ekar untuk bangunkan bandar baharu Kalabakan appeared first on Utusan Malaysia.






