PELABUHAN KLANG - Sebanyak 1,259 kontena sisa elektronik (e-waste) di sini disasarkan dibawa keluar dari Malaysia menerusi tindakan bersepadu menjelang hujung tahun ini.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bagi fasa pertama, sebanyak 148 kontena telah berjaya dibawa keluar.
Menurutnya, bagi fasa dua yang masih berjalan, AKPS dengan kerjasama agensi seperti Lembaga Pelabuhan Klang serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan 533 kontena.
"Setakat ini kita berjaya bawa keluar 255 kontena dari Malaysia.
"Untuk fasa tiga bermula 1 Oktober pula, kita akan keluarkan baki 578 kontena dan baki e-waste dianggarkan seberat 8 juta kilogram ini bergantung kepada siasatan yang dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pejabat Kastam Selangor di sini selepas sidang akhbar Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak berkenaan kes rampasan pelbagai komoditi dianggar bernilai RM42.99 juta pada Jumaat.
Beliau berkata, kontena terbabit membabitkan kes yang ditahan sejak 2024.
Dalam pada itu, Nik Ezanee menjelaskan tiada dikesan kontena mengandungi e-waste masuk semula ke dalam negara selepas dihantar keluar, namun terdapat kontena sama dengan muatan dagangan lain masuk ke dalam negara.
"Pemeriksaan telah dijalankan JKDM bersama AKPS berdasarkan senarai yang direkodkan, namun kontena itu tidak melibatkan barangan e-waste," ujarnya.
Tambahnya, AKPS memberi jaminan keberkesanan mesin pengimbas di Pelabuhan Klang yang efisien.
"Kita dari semasa ke semasa melatih pegawai scanner (mesin pengimbas) untuk jalankan tugas dengan terbaik. Saya tidak nafikan ada kelemahan, tapi hendak beritahu kita tidak pernah henti untuk tambah baik perkhidmatan," ujarnya.





