1.35 tan bunga ganja di KLIA: ‘Adakah penglibatan orang dalam?’

4 Aug 2026 • 1:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Dadah orang dalam KLIA

SHAH ALAM: Penglibatan orang dalam dipercayai menjadi salah satu punca peningkatan cubaan penyeludupan bunga ganja melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila sebanyak 1.35 tan metrik dadah organik itu dirampas di sana antara Januari hingga Julai tahun ini.

Rampasan dadah bernilai RM108.35 juta itu dilaporkan meningkat sehingga enam kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu apabila sebanyak 235.36 kilogram (kg) yang bernilai RM18.46 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah tangkapan juga turut meningkat iaitu seramai 121 individu 42 daripadanya adalah warga asing yang melibatkan 108 kes direkodkan.

Katanya, pada tempoh sama tahun lalu, seramai 57 individu ditahan terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah melalui KLIA.

“Berdasarkan jumlah tangkapan dan juga rampasan, saya boleh katakan KLIA menjadi hub untuk membawa keluar (dadah) terutama dadah jenis bunga ganja.

“Dadah-dadah yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari bahagian utara melalui Kelantan dan dibawa melalui jalan darat dan laut sebelum tiba di KLIA. Di negara ini tiada dadah (tanaman ganja) yang mampu memberi bekalan sebanyak itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan polis baru-baru ini menumpaskan sejumlah aktiviti pengedaran dadah dalam pelbagai siri operasi khas yang hasilnya dianggap luar biasa apabila sebanyak 260 kg bunga ganja dan 1.01 kg kokain bernilai RM21.26 juta dirampas.

Operasi yang melibatkan sembilan kes itu, polis menahan 13 individu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita tempatan, enam lelaki dan dua perempuan warga asing berperanan sebagai keldai dadah berusia antara 18 hingga 53 tahun.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Dalam pada itu, Hussein menjelaskan, kemungkinan wujud faktor penglibatan orang dalam dan pemeriksaan keselamatan yang perlu ditambah baik menyebabkan KLIA kerap menjadi tumpuan bagi aktiviti pengedaran dadah di peringkat antarabangsa.

“Antara aspek yang polis sedang lihat, adakah penglibatan orang dalam di KLIA?

“Mungkin penerbangan dari KLIA tidak diberi keutamaan (terhadap pemeriksaan pengesanan dadah) atau kepekaan kurang berbanding dengan penerbangan dari lapangan terbang (negara) lain.

“Saya enggan komen berkenaan prosedur di terminal, tetapi dalam mesyuarat bersama Kementerian Pengangkutan dan semua agensi terlibat semalam, kita melihat ada keperluan untuk meningkatkan tahap keselamatan ke atas penumpang dan juga barangan di KLIA.

“Maksudnya, keutamaan di KLIA itu dari segi penyeludupan adalah senjata api dan barang-barang terlarang lain. Sekarang kita (dan kementerian) bersetuju memasukkan dadah sebagai salah satu keutamaan bagi tahap keselamatan,” jelasnya. – UTUSAN

The post 1.35 tan bunga ganja di KLIA: ‘Adakah penglibatan orang dalam?’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved