Polis rampas 1.35 tan dadah bernilai RM108.35 juta di KLIA

1 Aug 2026 • 4:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis rampas 1.35 tan dadah bernilai RM108.35 juta di KLIA
Bagi tempoh Januari hingga Julai, sebanyak 108 kes direkodkan di KLIA berbanding 54 kes bagi tempoh sama tahun lalu. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR – Polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 1.35 tan dianggarkan bernilai RM108.35 juta menerusi operasi membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan melumpuhkan sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa itu hasil pelbagai operasi khas serta pemantapan risikan di pintu masuk utama negara.

"Bagi tempoh Januari hingga Julai, sebanyak 108 kes direkodkan di KLIA berbanding 54 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Jumlah tangkapan turut meningkat kepada 121 individu berbanding 57 individu pada tempoh sama tahun lalu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, usaha JSJN memutuskan rantaian bekalan dadah mula menunjukkan hasil apabila kes di bawah kategori bekalan (pengedaran) meningkat daripada 18 kes pada tahun lalu kepada 47 kes tahun ini.

Katanya, tangkapan pengedar turut meningkat hampir tiga kali ganda daripada 21 orang kepada 59 orang.

"Secara keseluruhan, berat dadah yang dirampas meningkat hampir enam kali ganda daripada 235.36 kilogram pada tahun lalu kepada 1,353.41 kilogram atau 1.35 tan tahun ini," katanya.

Hussein berkata, sindiket kini dikesan mengubah modus operandi dengan membawa masuk dadah jenis bunga ganja.

"JSJN merampas 1,251.18 kilogram bunga ganja tahun ini berbanding hanya 82.98 kilogram pada tahun lalu.

"Rampasan ketamin juga meningkat daripada 2.15 kilogram kepada 16.51 kilogram bagi tempoh sama," katanya.

Beliau berkata, fokus JSJN tidak hanya tertumpu di kawasan KLIA apabila risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) KLIA membawa kepada lima operasi susulan di Sepang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan.

Menurutnya, operasi itu berjaya merampas 367.83 kilogram bunga ganja bernilai RM29.43 juta, termasuk rampasan terbesar seberat 153.68 kilogram di Mambau, Seremban serta empat serbuan di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi perkongsian maklumat risikan serta pemantauan bersepadu.

Mengulas mengenai tangkapan seorang juruterbang syarikat penerbangan yang dipercayai terbabit dalam penyeludupan dadah di Indonesia, Hussein berkata, JSJN sedang menyiasat kemungkinan sindiket menggunakan kru penerbangan atau laluan udara untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

"Kita sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menganalisis imej berkaitan bagi membantu siasatan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved