Rampasan Dadah Di KLIA Melonjak 6 Kali Ganda, Babit Nilai Lebih RM100 Juta

1 Aug 2026 • 8:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Rampasan Dadah Di KLIA Melonjak 6 Kali Ganda, Babit Nilai Lebih RM100 Juta

KUALA LUMPUR - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi antara lokasi tumpuan dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah apabila polis merampas pelbagai jenis narkotik bernilai RM108.35 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu mencatat peningkatan ketara berbanding RM18.46 juta dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu lonjakan hampir enam kali ganda.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berkata, peningkatan berkenaan menunjukkan keberkesanan operasi risikan, tindakan penguatkuasaan bersasar serta pemantauan lebih ketat di salah satu pintu masuk udara utama negara itu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 108 kes berkaitan dadah direkodkan di KLIA antara Januari hingga Julai tahun ini, meningkat dua kali ganda berbanding 54 kes yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2025.

Menurut beliau, jumlah tangkapan turut meningkat kepada 121 individu berbanding 57 orang pada tahun sebelumnya, termasuk 42 warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah melalui KLIA.

"Operasi berterusan turut berjaya mengekang lebih banyak rangkaian pengedaran dadah apabila kes berkaitan bekalan meningkat daripada 18 kes pada tahun lalu kepada 47 kes tahun ini.

“Jumlah tangkapan membabitkan suspek pengedar pula hampir tiga kali ganda, meningkat daripada 21 individu pada 2025 kepada 59 individu pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah di KLIA turut mencatat peningkatan besar, iaitu daripada 235.36 kilogram tahun lalu kepada 1,353.41 kilogram atau 1.35 tan pada 2026.

“Peningkatan tersebut membuktikan keberkesanan operasi berasaskan risikan dalam menggagalkan cubaan sindiket berskala besar mengeksploitasi laluan penerbangan negara untuk aktiviti penyeludupan,” katanya. 

Menurutnya, sindiket kini mengubah taktik dengan cuba membawa masuk dadah dalam kuantiti lebih besar, khususnya bunga kanabis.

“JSJN merekodkan rampasan bunga kanabis sebanyak 1,251.18 kilogram (1.25 tan) tahun ini berbanding hanya 82.98 kilogram pada 2025.

“Rampasan ketamin juga meningkat daripada 2.15 kilogram pada 2025 kepada 16.51 kilogram tahun ini,” katanya.

Sementara itu, operasi hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah KLIA turut membawa kepada lima operasi susulan di sekitar Sepang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut Hussein, operasi berkenaan berjaya merampas 367.83 kilogram bunga kanabis bernilai RM29.43 juta, termasuk rampasan terbesar sebanyak 153.68 kilogram di Mambau, Seremban, selain empat serbuan di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang.

Beliau turut memuji kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), khususnya dalam perkongsian maklumat risikan dengan pantas serta penyelarasan pemantauan di KLIA.

Tegasnya, tiada mana-mana pintu masuk negara termasuk KLIA, akan dibenarkan menjadi laluan transit kepada sindiket dadah antarabangsa.

“PDRM akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan sempadan bagi mengesan, memburu dan melumpuhkan sindiket dadah sehingga mereka berjaya dinyahkan sepenuhnya.

“Setiap pesalah akan dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya.

JSJN turut menegaskan komitmennya dalam memerangi penyeludupan dadah yang disifatkan sebagai “musuh nombor satu negara”.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan tersebut menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya. - Getaran, 1 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved