1 juta rumah mampu milik dibina antara 2026 hingga 2035 - PM Anwar

31/07/2025 - 15:07
KUALA LUMPUR 31 Julai - Sebanyak 1 juta unit rumah mampu milik akan dibangunkan dari 2026 hingga 2035, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, inisiatif ini akan melibatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju swasta.
“Ini adalah bagi memastikan seramai mungkin rakyat Malaysia dapat tinggal di kediaman yang selamat dan selesa,” katanya, sambil merujuk kepada pelbagai inisiatif termasuk Program Residensi Madani, Program Perumahan Penjawat Awam, Program Bantuan Bina Rumah Baharu, Program Perumahan Mampu Milik dan Rumah Bakat Madani.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan komitmen berterusan kerajaan untuk menyediakan perumahan yang berkualiti, mampu milik dan inklusif.
“Sehingga 2025, sebanyak 180,000 unit rumah telah siap dibina, dan 235,000 lagi sedang dalam pembinaan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui, ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan, serta harga rumah yang masih tidak selari dengan tahap pendapatan, kekal sebagai isu utama yang perlu ditangani.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memperluas inisiatif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan dan Skim Sewa untuk Milik (RTO), khususnya untuk memberi manfaat kepada lebih ramai golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang ingin memiliki rumah.
“Peralihan kepada teknologi seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pengurusan Bangunan Bersepadu (BIM) akan mempercepatkan pelaksanaan serta mengurangkan kos pembinaan, termasuk bagi perumahan awam,” katanya.
Beliau turut mengumumkan rancangan untuk memperluaskan inisiatif Kota Madani di Putrajaya, yang dibangunkan dengan kerjasama Putrajaya Holdings, sebagai model perumahan mampu milik yang menghayati konsep ‘umran hadhari’.
“Konsep ini bukan sahaja membolehkan rakyat memiliki kediaman, tetapi juga merasai kehidupan di bandar yang menggabungkan kemajuan dengan nilai, kemodenan dengan akhlak, serta teknologi dengan kemanusiaan,” katanya. - DagangNews.com
standard




