
SHAH ALAM, 12 OGOS: Tapak pelupusan sampah seluas 100 ekar di Selangor dijangka mencapai kapasiti penuh dalam tempoh enam hingga tujuh tahun sekiranya kadar janaan sisa kekal pada tahap semasa.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Mohd Tahir berkata keadaan itu perlu diberi perhatian memandangkan hampir 10,000 tan sampah diuruskan setiap hari di negeri ini sejak empat tahun lalu.
"Kalau ikut cara kita menghasilkan sampah di Selangor sekarang, dalam tempoh enam hingga tujuh tahun, tapak pelupusan seluas 100 ekar sudah penuh.
"Jadi sampai bila kita mahu menggunakan tanah Selangor yang mahal dan mengorbankannya hanya untuk dijadikan tapak pelupusan? Tidak boleh," katanya.
Ramli berkata, jumlah sampah yang tinggi bukan sahaja memberi tekanan terhadap kapasiti tapak pelupusan, malah melibatkan perbelanjaan besar apabila kos pelupusan sahaja dianggarkan antara RM80 juta hingga RM100 juta setahun.

Katanya, kos berkenaan melibatkan pelupusan sisa di beberapa tapak pelupusan yang digunakan pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala KDEBWM bertanggungjawab terhadap kerja kutipan dan pengangkutan.
"Kerajaan membelanjakan banyak wang untuk kutipan, pengangkutan dan pelupusan. Untuk pelupusan sampah sahaja, saya anggarkan keseluruhannya sekitar RM80 juta hingga RM100 juta setahun," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan semula bekas Tapak Pelupusan Telok Kapas, di Bangunan Annexe, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Mengulas jumlah sisa yang diuruskan, Ramli menjelaskan, hampir 10,000 tan sehari itu merangkumi sampah domestik organik dari rumah, kedai, institusi dan premis komersial, selain sampah pembersihan awam serta pukal.
Tambahnya, pertambahan penduduk termasuk kemasukan pelajar dan pekerja turut menyumbang kepada jumlah sisa yang perlu diuruskan setiap hari.

"Kita memang buat program kesedaran dan kempen supaya janaan sampah dikurangkan dari punca, tetapi sampah tetap ada.
"Jadi saya merayu kepada semua supaya kita lebih sedar, bersama-sama memikul tanggungjawab dan cuba mengurangkan janaan sampah," katanya.
Beliau berkata masyarakat boleh memainkan peranan dengan mengurangkan penggunaan plastik serta mengasingkan bahan seperti kertas, kotak dan barangan yang masih boleh dikitar semula supaya tidak berakhir di tapak pelupusan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, sekali gus membantu memanjangkan jangka hayat kemudahan berkenaan.
"Sampah itu sebenarnya datang daripada kita, bukan orang lain. Jadi kita perlu mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang betul tentang bagaimana mahu mengurangkan sampah dari peringkat awal.
"Kalau negara maju boleh mengurangkan penghasilan sampah serta mengamalkan kitar semula, guna semula dan sebagainya, saya yakin kita juga boleh melakukannya di Selangor," ujarnya.

Katanya, Kajang merekodkan jumlah kutipan sampah tertinggi di Selangor iaitu sekitar 1,200 hingga 1,300 tan sehari, manakala Sabak Bernam mencatat jumlah terendah.
"Lagi ramai orang yang tinggal di sesuatu kawasan, lagi tinggi jumlah sampah dihasilkan. Sekarang Kajang memang antara kawasan paling padat.
"Dalam sehari kita mengutip sekitar 1,200 tan dan sebab itu hampir 98 lori digunakan untuk operasi di Kajang," katanya.





