Bekas tapak pelupusan Telok Kapas seluas 80 ekar bakal dipulihkan - EXCO

LocalEnvironment
12 Aug 2026 • 4:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Bekas tapak pelupusan Telok Kapas seluas 80 ekar bakal dipulihkan - EXCO

SHAH ALAM, 12 OGOS: Bekas tapak pelupusan sampah Telok Kapas, Klang seluas 80 ekar bakal dipulihkan (rehabilitasi) menerusi kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), sekali gus membuka peluang untuk tanah berkenaan dimanfaatkan semula.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara dua anak syarikat Kerajaan Negeri itu akan meneroka kaedah pemulihan yang sesuai, mampan dan berdaya maju bagi kawasan berkenaan.

Image from: Bekas tapak pelupusan Telok Kapas seluas 80 ekar bakal dipulihkan - EXCO
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Tapak Pelupusan Telok Kapas, Klang di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 12 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Tanah berkeluasan 80 ekar ini telah sekian lama kita cuba rehabilitasi tetapi menghadapi masalah kerana kos yang agak tinggi.

"Jadi dengan kerjasama ini, Landasan Lumayan dan KDEB Waste Management akan meneroka kaedah menguruskan kawasan ini supaya dapat dipulihkan dan dimanfaatkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian MoU berkenaan di Bangunan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato' Ramli Mohd Tahir dan Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn. Bhd. Syaiful Azmen Nordin.

Menurut Izham, usaha berkenaan antara lain bertujuan menangani cecair sisa yang masih keluar dari kawasan bekas tapak pelupusan itu, sekali gus membantu mengurangkan risiko terhadap kualiti air sungai.

Beliau berkata tapak yang terletak dalam kawasan pembangunan Selangor Maritime Gateway (SMG) itu ditutup sejak 2007, dengan kira-kira 70 ekar daripada keseluruhan 80 ekar mengandungi sisa pepejal pada kedalaman purata 15 meter.

"Daripada 80 ekar itu, 70 ekar mengandungi sampah dan hanya 10 ekar yang tiada. Kedalamannya secara purata kira-kira 15 meter. Jumlahnya lebih satu juta meter padu atau berdasarkan kepadatan, dianggarkan sekitar satu juta tan," katanya.

Image from: Bekas tapak pelupusan Telok Kapas seluas 80 ekar bakal dipulihkan - EXCO
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim (dua, kanan) EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan & Pelancongan Dato' Ng Suee Lim (dua, kiri) menyaksikan majlis memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan tapak pelupusan Telok Kapas, Klang di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 12 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Izham berkata kaedah pemulihan secara menyeluruh dengan mengorek semua sisa, memindahkannya ke tapak pelupusan sebelum menimbus semula kawasan berkenaan dianggarkan menelan kos sekitar RM200 juta.

Justeru, katanya, beberapa pendekatan lain akan diteroka termasuk rawatan biologi, mekanikal dan pemulihan bahan bagi mendapatkan kaedah yang lebih ekonomik serta mampan.

"Seperti KDEBWM, mereka menggunakan kaedah pemulihan bahan (material recovery). Bahan akan diasingkan dan mana yang boleh dikitar semula akan dikitar semula," katanya.

Menurutnya, selepas proses pemulihan selesai, kawasan berkenaan berpotensi dibangunkan untuk kegunaan lain termasuk ladang solar atau industri, bergantung kepada tahap pemulihan serta nilai ekonominya.

"Pada peringkat awal, kita fikir untuk buat ladang solar kerana kawasan itu sangat sesuai. Tetapi kita akan lihat nilai ekonominya. Proses pemulihan ini paling penting, selepas itu baru kita tentukan pembangunan yang sesuai," katanya.

Beliau berkata kejayaan memulihkan bekas tapak pelupusan Telok Kapas berpotensi menjadi model bagi usaha sama di tapak pelupusan lain di Selangor yang berdepan isu sama.

"Kalau kita berjaya memanfaatkan tempat ini dan melakukan pemulihan, saya yakin banyak lagi tempat lain yang menghadapi masalah sama boleh dipulihkan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved