Selangor teroka pemuliharaan bekas tapak pelupusan sampah

LocalEnvironment
12 Aug 2026 • 4:25 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Tapak pelupusan sampah

SHAH ALAM: Selangor melaksanakan pelan pemuliharaan tapak pelupusan sampah di Telok Kapas, Klang yang ditutup hampir 20 tahun lalu bagi memastikan kawasan seluas kira-kira 32.4 hektar boleh dipulih dan dibangunkan.

Pemulihan itu dilakukan bagi merawat sisa yang tertanam di kawasan tersebut pada kedalaman sehingga 15 meter dengan kepadatan sampah sekitar satu tan metrik (tan) bagi setiap meter padu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim bekata, pemulihan tersebut penting berikutan nilai tanah yang tinggi di samping masalah air resapan masih mengalir keluar sehingga menyebabkan pencemaran di Sungai Klang.

Katanya, berdasarkan kaedah semasa, moratorium selama 30 tahun perlu dilakukan terhadap mana-mana tapak pelupusan sampah sebelum guna semula tanah bagi aktiviti lain dilakukan, namun tempoh itu dianggap terlalu lama.

“Sekian lama cuba untuk membuat rehabilitasi (tanah), tetapi menghadapi masalah sebab kos yang terlalu tinggi. Bagaimana kaedahnya (nanti) kita akan teroka dan memanfaatkan tempat itu untuk menyelesaikan masalah kualiti air dan sampah.

“Dengan program rehabilitasi nanti, saya yakin banyak lagi tempat-tempat (tapak pelupusan sampah) sama ada haram atau sah, sudah tutup supaya dapat dibuat pemulihan bagi kita memanfaatkan tanah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) dan Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) Bagi Pembangunan Tapak Pelupusan Telok Kapas, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim menyaksikan pemeteraian MoU antara kedua-dua syarikat itu yang ditandatangani oleh Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd. Tahir dan Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin.

Pemeteraian kerjasama tersebut bertujuan memulihara dan membangunkan bekas tapak pelupusan sampah sebagai sebuah kemudahan pemulihan sumber dan pengurusan sisa inert terkawal yang berteraskan prinsip ekonomi kitaran.

Sementara itu, Ramli berkata, pemulihan tersebut penting apabila kadar kutipan sampah domestik dan pukal di negeri ini melebih 10,000 tan sehari sejak empat tahun lalu susulan peningkatan jumlah penduduk kini mencecah 7.5 juta orang.

“Tapak pelupusan sampah, kalau ikut kepada kadar (kutipan sampah) di Selangor, cara sampah dihasilkan itu dalam tempoh enam hingga tujuh tahun, lebih 40 hektar tanah sudah penuh.

“Jadi, sampai bila kita hendak gunakan tanah Selangor yang mahal itu untuk dijadikan ‘korban’ bagi pelupusan sampah sahaja, tidak boleh. Kita kena pastikan ada pendidikan yang baik, pemahaman untuk mengurangkan penghasilan sampah dulu,” jelasnya. – UTUSAN

The post Selangor teroka pemuliharaan bekas tapak pelupusan sampah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved