10 aduan petrol tercemar di 7 stesen minyak di Selangor

LocalCars
17 Oct 2026 • 1:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 10 aduan petrol tercemar di 7 stesen minyak di Selangor

PETALING JAYA – Sebanyak 10 aduan berkaitan petrol RON95 disyaki tercemar air diterima sejak 29 September lalu membabitkan tujuh stesen minyak jenama antarabangsa di Selangor.

Aduan terbabit melibatkan pengguna yang mendakwa kenderaan mereka mengalami masalah enjin selepas mengisi petrol, termasuk tersengguk-sengguk, kehilangan kuasa, gagal dihidupkan dan injap enjin terbakar.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, susulan aduan tersebut, pihaknya menjalankan pemeriksaan di tujuh premis terbabit semalam.

Beliau berkata, sebanyak 27 tin sampel petrol RON95 diambil daripada pam pengisian yang terjejas untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis makmal.

“Siasatan mendapati aduan daripada pengguna merangkumi pelbagai simptom kerosakan enjin seperti enjin mengeluarkan bunyi tidak normal, tersengguk-sengguk (jerking), kehilangan kuasa (loss of power), enjin gagal dihidupkan, hingga terdapat kes injap enjin terbakar.

“Malah, pemeriksaan lanjut oleh pusat servis pengeluar kenderaan turut mengesahkan bahawa kerosakan enjin bagi sesetengah kenderaan pengadu adalah berpunca daripada pencemaran air dalam tangki bahan api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Hanif berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua premis stesen minyak berkenaan memiliki Lesen Kebenaran Khas (CSA) dan Lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) yang masih sah.

“Pihak penguat kuasa telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 32 Akta Perihal Dagangan 2011 bagi menghendaki pemilik premis mengemukakan maklumat dan dokumen berkaitan perniagaan untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan berhubung kemungkinan pelanggaran Seksyen 5(1)(c), dibaca bersama Seksyen 6(1)(d) dan Seksyen 7 Akta yang sama, berkaitan dakwaan perihal dagangan palsu berhubung kandungan petrol yang dibekalkan,” ujarmya.

Dalam pada itu, KPDN Selangor mengingatkan syarikat minyak dan pengusaha stesen supaya memastikan tangki simpanan bawah tanah diselenggara secara berkala serta mematuhi standard keselamatan dan kualiti ditetapkan.

Pengguna yang terjejas dinasihatkan menyimpan resit rasmi pembelian petrol dan laporan pemeriksaan bengkel sebagai dokumen sokongan bagi tujuan aduan serta membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan isu kualiti petrol boleh menyalurkannya menerusi WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000, Pusat Panggilan 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN.-KOSMO! ONLINE

The post 10 aduan petrol tercemar di 7 stesen minyak di Selangor appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved