Lagi kes kereta ‘semput’, ‘terbang’ RM450

LocalCars
17 Oct 2026 • 4:17 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lagi kes kereta ‘semput’, ‘terbang’ RM450

KANGAR – Seorang pengguna mendakwa keretanya mengalami masalah enjin selepas mengisi petrol di sebuah stesen minyak di sini kelmarin sehingga terpaksa menanggung kos pembaikan sebanyak RM450.

Pempengaruh di Tiktok En Duta Aizat Hafiz mendakwa, dia mengisi petrol sebanyak RM80 di stesen minyak itu kira-kira pukul 1 tengah hari sebelum singgah di sebuah kedai makan.

Katanya, masalah mula dikesan selepas selesai makan apabila enjin kereta dapat dihidupkan, namun tidak bergerak seperti biasa ketika gear ditukar kepada D meskipun pedal minyak ditekan.

“Bila masuk gear D, dok tekan minyak awat tak mahu pi. Lepas itu jadi semput, selalu dok tengok jadi kat kereta orang lain, kali ini jadi kat kereta kita sendiri.

“Tau dah kata (minyak) selain daripada Petronas tu ada masalah tapi ingat dah selesai dah masalah itu, rupanya jadi lagi. Nasib baik saya dah sampai ke rumah dah,” katanya.

Susulan kejadian itu, katanya, keretanya dihantar ke bengkel untuk pemeriksaan dan berada di situ selama dua hari satu malam.

Dakwanya, hasil pemeriksaan mekanik mendapati petrol di dalam tangki didakwa tidak berkualiti berdasarkan keadaan minyak yang dikeluarkan, sebelum kerja pembersihan menyeluruh dilakukan.

Menurutnya, mekanik mengeluarkan semua petrol dari tangki dan membersihkannya sehingga kering sebelum mengisi petrol RON97 keluaran Petronas.

“Selepas itu, mekanik menguji kereta dan semuanya berjalan lancar. Saya sendiri memandu kereta dari bengkel ke kedai makan sebelum pulang ke rumah tanpa sebarang masalah,” jelasnya.

Dia berkata, kos keseluruhan yang ditanggung ialah RM450, merangkumi RM350 bagi kerja membuka dan membersihkan tangki minyak serta RM100 untuk petrol RON97 yang digunakan dalam proses berkenaan.

Menurutnya, mekanik memaklumkan petrol yang dikeluarkan dari tangki itu kelihatan lebih cair, warnanya kurang pekat dan mempunyai bau berbeza berbanding petrol yang biasa digunakan.

Bagaimanapun, dia tidak mahu membuat sebarang tuduhan atau menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung kejadian itu.

Sebaliknya, dia telah memuat naik perkongsian mengenai pengalamannya di media sosial dan mengemukakan aduan melalui e-mel kepada pihak pengurusan stesen minyak berkenaan, termasuk menyertakan resit pembelian petrol, resit pemeriksaan serta tangkap layar komunikasi dengan pihak berkenaan.

Katanya, dia masih menunggu maklum balas daripada pihak terbabit berhubung aduan dan tuntutan kos yang dikemukakan.

“Perkongsian ini bukan bertujuan mengajak orang memboikot, sebaliknya lebih kepada kesedaran supaya orang lain tidak mengalami masalah sama.

“Bagi kami, kos RM450 itu masih boleh ditanggung, tetapi bagaimana pula jika individu berpendapatan rendah hanya mempunyai sebuah kereta untuk menghantar anak ke sekolah, ke hospital atau pergi bekerja?

“Saya harap pengalaman ini menjadi peringatan kepada pengguna supaya lebih peka terhadap kualiti petrol yang digunakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Lagi kes kereta ‘semput’, ‘terbang’ RM450 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved