
PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor telah menjalankan pemeriksaan mengejut di beberapa stesen minyak susulan aduan tular berhubung dakwaan petrol RON95 dicemari air sehingga menyebabkan enjin kenderaan bermasalah.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, KPDN Selangor memaklumkan pemeriksaan dan siasatan dijalankan semalam di stesen minyak sekitar Klang, Sungai Buloh, Puchong dan Shah Alam.
Jelas agensi itu, tindakan itu dibuat susulan aduan pengguna yang mendakwa kenderaan mereka mengalami masalah enjin dan tersentak selepas mengisi petrol RON95.
“Pegawai penguat kuasa KPDN turut mengambil dan menyita sampel petrol daripada pam yang dikenal pasti untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis makmal.
“Analisis itu bertujuan menentukan sama ada bahan api berkenaan mengandungi unsur pencemaran, termasuk kehadiran air,” katanya.
Jelas KPDN Selangor, pihaknya memandang serius aduan berkenaan dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Sebarang ketidakpatuhan undang-undang yang dikenal pasti akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
“Orang ramai yang mengalami masalah sama diminta menyalurkan aduan rasmi kepada KPDN dengan memberikan maklumat lengkap termasuk lokasi stesen minyak, tarikh dan masa pengisian serta bukti berkaitan bagi membantu siasatan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
The post Aduan petrol tercemar, KPDN Selangor ‘serbu’ stesen minyak appeared first on Kosmo Online.






