10 ADUN PH Negeri Sembilan Diarah Pulangkan Peruntukan Selepas DUN Dibubarkan

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 8:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

10 ADUN PH Negeri Sembilan Diarah Pulangkan Peruntukan Selepas DUN Dibubarkan

SEREMBAN - Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang tidak memegang jawatan Exco serta dua penyelaras DUN diarahkan memulangkan peruntukan bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) selepas mengambil kira status peruntukan berkenaan susulan pembubaran DUN.

Menurutnya, setiap ADUN PH terbabit menerima peruntukan sebanyak RM174,000 bagi tempoh tiga bulan.

“Pembubaran DUN menyebabkan ADUN biasa tidak lagi menjalankan fungsi dalam tempoh berkenaan dan tidak layak menggunakan peruntukan yang diluluskan bagi tempoh Julai hingga September.

“Dua penyelaras DUN pula menerima RM150,000 setiap seorang bagi tempoh tiga bulan dan turut diminta memulangkan peruntukan yang tidak lagi boleh digunakan selepas pembubaran DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Bagaimanapun, Ismail berkata kedudukan tujuh lagi ADUN PH yang memegang jawatan Exco adalah berbeza kerana mereka masih menjalankan tugas sebagai Exco dan anggota MMK secara ex officio sehingga 31 Julai lalu.

Katanya, setiap anggota Exco menerima peruntukan RM225,000 yang merangkumi RM180,000 bagi program kemasyarakatan dan RM45,000 untuk pusat khidmat.

“Bagaimanapun, hanya peruntukan bagi bulan Julai boleh digunakan berdasarkan tempoh mereka masih menjalankan fungsi sebagai Exco.

“Bagi tempoh selepas 31 Julai iaitu Ogos dan September, peruntukan sebanyak RM150,000 perlu dipulangkan kerana mereka tidak lagi menjalankan fungsi sebagai Exco,” katanya. - Getaran, 26 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved