
KOTA BHARU : Kerajaan Negeri Kelantan bersedia mempertahan Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 Ogos lalu dicabar di mahkamah.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya terbuka dengan sebarang cabaran terhadap RUU berkenaan kerana mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu cabaran itu mempunyai asas atau sebaliknya.
Katanya, banyak akta pernah dicabar dan ada yang dibatalkan, malah Perlembagaan Persekutuan sendiri turut melalui banyak pindaan.
“Siapa sahaja boleh mencabar undang-undang dan mahkamah akan menentukan sama ada cabaran itu ada asas atau tidak.
“Kita bersedia dan Menteri Besar Kelantan (Datuk Mohd. Nassuruddin Daud) sendiri ada menyebut kalau dicabar, kita akan buat lagi kerana apa yang kita buat dalam enakmen ini sangat teliti dengan penglibatan pakar undang-undang dan perlembagaan,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan peguam, Nik Elin Nik Rashid berkata, beliau mendapati sekurang-kurangnya 11 peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 boleh dicabar di mahkamah.
Awal bulan ini, DUN Kelantan meluluskan pindaan terhadap enakmen kesalahan syariah negeri itu secara sebulat suara bagi menggantikan 16 peruntukan yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2024 kerana tidak berperlembagaan dan melangkaui kuasa perundangan negeri.
Nik Elin, salah seorang pempetisyen dalam kes yang membawa kepada pembatalan 16 peruntukan terbabit telah menggesa Kerajaan Negeri Kelantan supaya tidak menguatkuasakan undang-undang semata-mata kerana ia ‘sedap didengar’.
Sementara itu, Mohamed Fadzli berkata, pelaksanaan syariat Islam di Kelantan tidak seharusnya dilihat dari sudut politik semata-mata kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan negeri yang menerima mandat daripada rakyat. – UTUSAN
The post Kelantan sedia pertahan jika RUU Kesalahan Syariah 2026 dicabar appeared first on Utusan Malaysia.




