
PAS mengecam tindakan kerajaan berhubung pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) susulan notis yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bertarikh 20 Oktober 2026.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya kesal dengan tindakan berkenaan yang disifatkan sebagai mendahului keputusan mahkamah, selain didakwa mengehadkan hak demokrasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, tindakan itu juga memperlihatkan apa yang didakwanya sebagai kebimbangan yang semakin memuncak dalam kalangan pihak kerajaan terhadap gabungan pembangkang berkenaan.
“PAS kesal dengan tindakan ini yang dilihat mendahului keputusan mahkamah, menghadkan hak demokrasi yang dijamin Perlembagaan, sekali gus memperlihatkan ketakutan yang sedang memuncak di pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan bahawa segala urusan pentadbiran dan pengurusan PN dilaksanakan secara teratur serta mematuhi perlembagaan parti.
Beliau turut mendakwa hubungan antara parti komponen gabungan berkenaan kekal kukuh, kecuali satu pihak yang menurutnya telah mengambil keputusan untuk membawa haluan berbeza.
“PAS mengesahkan segala aspek pentadbiran dan pengurusan PN dijalankan secara teratur dan mengikut perlembagaan parti, manakala keharmonian dalam kalangan parti anggota amat utuh, kecuali satu pihak yang telah menyisihkan diri dan berpaling arah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan PAS bersama parti-parti komponen PN yang sehaluan akan mengambil langkah susulan, termasuk mencabar keputusan pembatalan pendaftaran tersebut melalui saluran mahkamah.
Rakam penghargaan
Pada masa sama, Abdul Hadi merakamkan penghargaan kepada ahli, penyokong dan pengundi atas pagar yang terus memberikan sokongan serta mengharapkan perubahan dalam kepimpinan negara.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati undang-undang dan prinsip demokrasi dalam menangani isu berkenaan.
Terdahulu, ROS mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.
Menurut ROS, keputusan dibuat selepas meneliti dokumen dan maklum balas PN yang diterima pada 12 Oktober lalu, susulan notis bertarikh 22 September 2026.
Pembatalan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
The post PAS kecam pembatalan pendaftaran PN, bakal cabar keputusan di mahkamah appeared first on The Reporter.






