Mahkamah Tinggi pada Rabu membenarkan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang pelantikan mereka dibatalkan menarik balik saman pemula terhadap tiga defendan, termasuk kerajaan negeri, tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.

Foto: Free Malaysia Today
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu ketika prosiding pengurusan kes secara sidang video. Penarikan balik tersebut turut meliputi permohonan di bawah bidang kuasa asal Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua plaintif membayar kos berjumlah RM48,000 seperti dipersetujui pihak-pihak. Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri Sembilan masing-masing diperuntukkan RM20,000, manakala Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menerima RM8,000.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili kesemua plaintif, memaklumkan penarikan balik dibuat susulan perkembangan politik semasa, termasuk peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang menurutnya memberi kesan kepada kedudukan keseluruhan Exco.
Beliau turut memohon supaya penarikan balik itu direkodkan sebagai perintah mahkamah bagi menamatkan prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.
Dalam prosiding itu, Roz Mawar membangkitkan status peletakan jawatan Menteri Besar yang difahamkan masih belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Hafarizam berkata beliau berpandangan prosiding wajar ditangguhkan sementara menunggu perkenan Tuanku, namun cadangan itu dibantah pihak defendan.
Peguam Cyrus Das, yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, berkata pihaknya bersetuju dengan penarikan balik itu dengan syarat tindakan berkenaan tidak boleh difailkan semula, termasuk melalui semakan kehakiman. Peguam DKU, Datuk Steven Thiru, turut mengesahkan persetujuan anak guamnya.
Sebelum membuat keputusan, Roz Mawar berkata pihak yang memulakan prosiding perlu bertanggungjawab terhadap tindakan yang difailkan. Beliau turut mengambil kira beberapa permohonan yang sudah dikendalikan mahkamah, termasuk permohonan DKU untuk mencelah.
Kesemua plaintif ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi), Datuk Zaifulbahri Idrisi (Chembong), Datuk Mustapha Nagoor (Palong), Siow Kong Choon (Chennah), Siti Nur Umaira Hasim (Labu), Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Suhaimizan Bizar (Gemencheh), Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat).
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)






