
SEREMBAN, 18 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan bahawa 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan telah menarik balik saman pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri dan dua pihak lain berhubung krisis perlembagaan di negeri itu, tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman berkenaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain membenarkan penarikan balik saman itu selepas dimaklumkan peguam plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun bahawa anak guamnya memutuskan untuk menarik balik keseluruhan saman tersebut, termasuk permohonan di bawah bidang kuasa asal Mahkamah Persekutuan.
Hafarizam berkata keputusan itu dibuat susulan perkembangan terkini berhubung peletakan jawatan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim, dengan mengambil kira peruntukan perlembagaan menetapkan keseluruhan anggota Exco negeri turut terhenti daripada memegang jawatan apabila Menteri Besar meletak jawatan.
“Alasan penarikan balik saman ini adalah kerana perkembangan semasa telah mengatasi isu yang dipertikaikan, dan selaras dengan peruntukan perlembagaan, apabila Menteri Besar meletakkan jawatan, keseluruhan Exco juga akan gugur atau terbubar,” katanya ketika prosiding di sini hari ini.
Bagaimanapun, Roz Mawar menjelaskan bahawa Ismail belum meletakkan jawatan secara rasmi ketika prosiding berlangsung kerana beliau hanya mengemukakan surat peletakan jawatan dan perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir masih belum diperoleh.
Hafarizam berkata kesemua plaintif pada mulanya memohon penangguhan prosiding sehingga Jumaat ini bagi memberi masa kepada Tuanku Muhriz mengeluarkan titah berhubung peletakan jawatan itu, namun selepas berbincang dengan anak guamnya, mereka memutuskan untuk menarik balik prosiding berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos RM20,000 kepada defendan pertama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan; RM20,000 kepada defendan kedua, Kerajaan Negeri Sembilan; dan RM8,000 kepada defendan ketiga, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU), tertakluk kepada alokatur.
Dalam penghakimannya, Roz Mawar berkata mahkamah tidak akan menghalang mana-mana pihak yang berlitigasi daripada menarik balik prosiding undang-undang, sambil menyatakan bahawa tindakan itu mungkin merupakan langkah yang lebih wajar.
Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah memperuntukkan banyak masa dan sumber untuk mengendalikan kes berkenaan sejak saman pemula itu difailkan lima bulan lepas berserta perakuan segera, termasuk menguruskan pelbagai permohonan serta menetapkan garis masa bagi pendengaran bantahan awal.
Kerajaan Negeri Sembilan Jalinkan Kerjasama Dengan Uni Enrol Bagi Program Biasiswa Aspirasi Negeri Sembilan 2026
Anthony Loke Dakwa Difitnah Mahu Jadi MB Negeri Sembilan, Rampas Pentadbiran Negeri
Negeri Sembilan Tidak Dijangka Adakan Pilihan Raya Negeri - PM Anwar
Terkenal Sebagai Negeri Adat Perpatih, Kenali 11 YDPB Negeri Sembilan
Beliau berkata pihak menggunakan bidang kuasa mahkamah, khususnya bagi perkara dikemukakan atas dasar segera membabitkan persoalan perlembagaan berkaitan kerajaan negeri, turut bertanggungjawab terhadap penggunaan sumber kehakiman yang diamanahkan untuk kepentingan awam.
Terdahulu, Hafarizam turut memaklumkan mahkamah bahawa penarikan balik saman itu dibuat tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula, termasuk melalui semakan kehakiman.
Peguam defendan pertama, Datuk Dr Cyrus Das, dan peguam defendan kedua, Razlan Hadri Zulkifli, mengesahkan persetujuan mereka terhadap penarikan balik saman itu berdasarkan terma yang dipersetujui, manakala peguam bagi defendan ketiga, Steven Thiru, turut menyatakan pendirian sama.
Sepuluh bekas Exco itu memfailkan saman pemula tersebut bagi mendapatkan tafsiran Perlembagaan Negeri dengan menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan negeri sebagai defendan, manakala DKU dibenarkan mencelah dan dimasukkan sebagai defendan ketiga dalam saman pemula tersebut.
Plaintif turut diwakili peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Luqman Hakeem Abas, manakala defendan pertama juga diwakili oleh peguam Abdul Rashid Ismail, Siti Nurani Md Zahidi dan Diong Pei Jing.
Peguam Razlan Hadri Zulkifli, Marisa Regina Mohd Aris Rizal dan Muhammad Yazid Mohamad Salim mewakili kerajaan negeri, manakala DKU diwakili peguam Steven Thiru, David Mathew, Shafrin Halim dan Gurjeevan Singh.






