
TEL AVIV: Sepuluh lagi pesawat pengisian bahan api udara tentera Amerika Syarikat (AS) sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion, menurut laporan media Israel pada Sabtu.
Ia menjadikan jumlah pesawat pengisian bahan api tentera AS yang ditempatkan di lapangan terbang awam utama Israel itu meningkat kepada 40 buah, sekali gus memburukkan lagi krisis operasi yang sedang dihadapi di antara hab pengangkutan udara paling sibuk di rantau itu.
Akhbar Calcalist, yang memetik Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Israel melaporkan pesawat tambahan itu akan menyertai 30 pesawat pengisian bahan api tentera AS yang sudah berada di lapangan terbang berkenaan.
Pihak berkuasa itu memberi amaran bahawa kehadiran aset ketenteraan tersebut telah memberi tekanan besar terhadap operasi lapangan terbang, menyebabkan kelewatan penerbangan awam sekitar dua jam sejak beberapa hari lalu.
Gangguan operasi penerbangan dijangka bertambah buruk sebaik sahaja pesawat tambahan itu tiba.
Kementerian Pengangkutan Israel pada 15 Julai mengumumkan bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan Washington untuk mengurangkan jumlah pesawat pengisian bahan api tentera AS di Lapangan Terbang Ben Gurion kepada 20 buah menjelang 21 Julai.
Namun, pesawat selebihnya akan dipindahkan ke pangkalan Tentera Udara Israel.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika ketegangan antara Washington dan Teheran terus memuncak.
Media Israel pada Sabtu melaporkan bahawa pihak pertahanan Israel sedang membuat persiapan menghadapi kemungkinan AS melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran.
Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat memberi amaran bahawa Amerika akan menyerang Iran dengan sangat hebat, sekali gus menambah kepada siri kenyataan daripada kedua-dua kerajaan sepanjang minggu ini yang menunjukkan bahawa satu lagi pusingan tindakan ketenteraan mungkin akan berlaku dalam masa terdekat. – AGENSI
The post 10 pesawat isi minyak tentera AS ke Israel appeared first on Utusan Malaysia.





